Southgate bidas masalah sosial

LONDON, 14 Mac – Pengurus England, Gareth Southgate turut mengecam tren yang sedang berlaku dalam bola sepak Britain berhubung insiden yang berlaku baru-baru ini tetapi percaya masalah sosial merupakan punca utama.

Seorang peminat Birmingham yang dipercayai menumbuk pemain Aston Villa, Jack Grealish selepas menceroboh padang telah dipenjara selama 14 minggu sementara seorang peminat Arsenal juga terlibat dalam insiden yang sama dan ini melibatkan Chris Smalling.

Insiden tersebut turut berlaku di Scotland beberapa minggu kebelakangan, insiden terbaharu berlaku apabila seorang peminat Hibernian menolak ketua pasukan Rangers, James Tavernier dalam insiden yang berlaku pada Jumaat lalu.

“Ia bukan sesuatu yang mengejutkan saya kerana jika anda pergi ke jalan-jalan raya pada hujung minggu, anda akan menyaksikan suasana yang tidak sepatutnya berlaku dan anti-sosial,” kata Southgate kelmarin.

“Melihat perkara itu berlaku semasa berlangsungnya aksi bola sepak adalah sesuatu yang mengecewakan tetapi ia adalah masalah sosial berbanding masalah bola sepak.

“Saya rasa semua orang perlu bekerjasama untuk memastikan langkah keselamatan yang betul telah dilaksanakan tetapi kita sepatutnya hidup di dalam era yang mana kita tidak memerlukan pengawal keselamatan.

Aksi separuh akhir bagi Liga Negara-Negara untuk pasukan England akan diadakan pada Jun ini dan Southgate berharap untuk menyemarakkan lagi suasana pada musim panas nanti.

“Kami beraksi untuk menggembirakan orang ramai, kami mahu pasukan yang menjadi kebanggaan orang ramai.

“Sama ada kita boleh menyelesaikan semua isu di negara ini adalah satu tugas yang sukar.” – AFP

Southgate semasa mengendalikan skuad England dalam saingan Piala Dunia 2018. Pengurus England itu mengecam tren yang sedang berlaku dalam bola sepak Britain berhubung insiden yang berlaku di Birmingham dan Emirates baru-baru ini. – Xinhua