Southgate inspirasi Jack Grealish

UNITED KINGDOM, 10 JUN – Jack Grealish mengakui kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada jurulatih England, Gareth Southgate sejak awal musim menjadi inspirasi yang diperlukannya untuk mendapat tempat dalam skuad England di Euro 2020.

Ketua pasukan Aston Villa itu semakin meningkat naik di Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, sehingga menimbulkan khabar angin bahawa dia akan dibeli dengan nilai yang tinggi oleh juara EPL, Manchester City.

Southgate sebelum ini tidak berminat untuk menyenaraikan Grealish, menangguhkan penampilan pertama pemain itu di peringkat antarabangsa sehingga September lalu.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu mendedahkan dia pernah berbincang dengan jurulatih berkenaan selama sejam ketika kali pertama menyertai kem latihan untuk mengenai cara meningkatkan permainannya ke tahap lebih tinggi.

“Beliau adalah pengurus England, jadi sudah pasti beliau akan menjadi jurulatih yang cemerlang. Beliau berjaya membantu meningkatkan permainan saya dengan mendadak.

“Pada permulaan musim saya bertanyakan kepada beliau apa yang boleh saya pertingkatkan. Saya tidak mahu menceritakan dengan terperinci apa yang kami bualkan, tapi beliau memberi saya panduan apa yang harus saya cuba dan memaksa diri untuk berada dalam pasukan.

“Saya rasa ia berkesan kerana setakat ini saya sudah beraksi sebanyak tujuh kali bersama England,” kata Grealish.

Grealish berdepan persaingan sengit untuk mendapatkan tempat dalam skuad Southgate menjelang pertemuan sulung Kumpulan D berdepan Croatia Isnin ini.

Marcus Rashford, Raheem Sterling, Phil Foden, Bukayo Saka dan Jadon Sancho juga bersaing merebut dua tempat untuk bergandingan dengan Harry Kane di bahagian serangan. – AFP

Aksi Jack Grealish dari England ketika melecek bola semasa perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Romania di Middlesbrough, England, pada 6 Jun lalu. – AP