Southgate jangka ditawarkan kontrak baharu

LONDON, 17 NOV – Pengurus England, Gareth Southgate berkata, tidak perlu ada komplikasi dengan rundingannya mengenai kontrak baharu.

Pasukan Southgate menempah tempat ke Piala Dunia tahun depan di Qatar dengan membelasah San Marino 10-0 pada Isnin lalu.

Laporan sejak beberapa minggu kebelakangan ini menunjukkan Southgate bersedia untuk menandatangani melanjutkan kontrak semasa bersama Persatuan Bola Sepak England, yang akan tamat pada penghujung Piala Dunia.

Southgate enggan masuk campur dalam situasi itu manakala England memberi tumpuan untuk memastikan kelayakan mereka.

Tetapi selepas kemenangan terbesar mereka dalam perlawanan kompetitif, dia mengakui tiada sebab mengapa pengurusannya tidak akan dilanjutkan sehingga sekurang-kurangnya Euro 2024.

“Apabila awda bekerja dengan kakitangan sedia ada dan dengan sekumpulan pemain yang mempunyai bakat, awda pasti mendapati sangat menyeronokkan,” kata Southgate.

England masih menanti trofi utama pertama sejak Piala Dunia 1966, tetapi Southgate memimpin mereka menuju ke arah yang betul selepas mengharungi 2021 yang tidak dapat dilupakan. – AFP