SpaceX bakal hantar empat pelancong ke orbit

WASHINGTON, 19 FEB – SpaceX mengumumkan satu perkongsian semalam untuk menghantar empat pelancong ke orbit, dalam satu misi yang mungkin berlangsung pada tahun 2022 dan dengan kos yang senang mencecah lebih daripada AS$100 juta.

Syarikat itu menandatangani perjanjian dengan Space Adventures, yang berpangkalan di Washington dan berfungsi sebagai perantara untuk menghantar lapan pelancong angkasa lepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) menerusi roket Rusia Soyuz.

Pelancong pertama adalah Dennis Tito, yang membayar AS$20 juta untuk penginapan lapan jam di ISS pada tahun 2001. Pelancong terakhir adalah pengasas Cirque du Soleil Guy Laliberte pada 2009.

Pelancong baharu akan dibawa menggunakan kapal SpaceX Crew Dragon, yang dibangunkan untuk membawa angkasawan NASA dan dijangka mengadakan penerbangan pertamanya pada bulan-bulan akan datang.

“Matlamat kami adalah mencecah dua hingga tiga kali ketinggian stesen angkasa lepas,” beritahu presiden Space Anventure Tom Shelley kepada AFP.

Gambar menunjukkan kapal angkasa lepas Crew
Dragon menjalani ujian akustik di Florida. – AP

ISS mengelilingi orbit pada 400 kilometer di atas permukaan Bumi, tetapi altitud sebenar misi Space Adventures akan ditentukan oleh SpaceX, tambah Shelley.

Paling awal, ia mungkin berlaku pada akhir tahun 2021, walaupun ‘kemungkinan besar ia akan diadakan pada 2022,” kata beliau.

Kapal itu dikhaskan untuk membawa angkasawan dari permukaan ke ISS. Hanya mempunyai isipadu sembilan meter, tidak adanya kawasan peribadi untuk tidur, cuci atau menggunakan bilik mandi.

Tempoh misi akan bergantung pada apa yang diingini oleh pelanggan, kata Shelley.

Apabila ditanya mengenai kos, Shelley menjawab: “Ia bukan murah.” – AFP