SpaceX hantar empat angkasawan ke ISS

WASHINGTON, 11 NOV – Selepas beberapa kali ditangguhkan, syarikat persendirian milik Elon Musk, SpaceX melancarkan empat angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) semalam dalam misi ‘Crew-3’.

Pos luar orbit itu kini beroperasi dengan hanya seorang angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) dalam segmen AS untuk mengalu-alukan kehadiran kru berkenaan selepas angkasawan misi Crew-2 sebelum ini mendarat di Teluk Mexico pada malam Ahad.

Tiga warga AS iaitu Raja Chari, Kayla Barron dan Tom Marshburn dan seorang rakyat Jerman, Matthias Maurer itu berlepas menaiki kapsul Crew Dragon yang dipasang pada roket Falcon 9 pada 9:03 malam tadi, waktu tempatan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida.

Kapal angkasa yang digelar Endurance itu tiba di ISS pada jam 7:10 malam ini. Pentadbir bersekutu NASA, yang juga bekas angkasawan, Bob Cabana menyifatkan pelancaran itu sebagai ’mengujakan’.

“Saya fikir ia adalah masa yang menakjubkan untuk program angkasa lepas Amerika. Kita kini tentunya berada di titik perubahan,” katanya.

Penerbangan itu pada mulanya dijadualkan pada 31 Oktober ditangguhkan beberapa kali kerana faktor cuaca, dan kemudiannya isu kecil ‘perubatan’ membabitkan salah seorang kru.

Namun, menurut NASA, yang tidak mendedahkan identiti individu berkenaan berkata, ia bukan disebabkan COVID-19.

Kolonel tentera udara AS, Chari mengetuai misi itu dan melakukan perjalanan pertamanya ke angkasa lepas, bersama-sama dengan Barron dan Maurer.

Kumpulan itu akan berada di angkasa selama enam bulan dan menjalankan penyelidikan bagi membantu penerokaan angkasa lepas pada masa depan, sekali gus memberi manfaat kepada kehidupan di bumi. – AFP

(Kiri ke Kanan) Matthias Maurer, Tom Marshburn, Raja Chari dan Kayla Barron sebelum memasuki roket Falcon 9 di Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Florida pada 10 November. – AFP