SpaceX lancar 64 satelit satu masa

WASHINGTON, 4 Dis – SpaceX melancarkan roket Falcon 9 semalam, menghantar muatan luar biasa ke angkasa lepas iaitu 64 satelit pada satu masa, sekali gus mencatat rekod Amerika Syarikat (AS).

Syarikat yang diketuai oleh jutawan Elon Musk itu mencatat satu lagi peristiwa penting dalam usahanya untuk menjadikan roket boleh digunakan semula, seperti kapal terbang: pelancaran menggunakan pelancar dikitar semula untuk kali ketiga.

SpaceX yang berpangkalan di California telah mendarat lebih 30 daripada pelancar berkenaan kembali ke Bumi dan mula menggunakannya semula dalam misi seterusnya.

Sebelum ini, sebahagian syarikat biasanya membenarkan bahagian roket yang berharga berjuta-juta dolar jatuh seperti barang lama ke dalam lautan.

Pendaratan peringkat pertama semalam tidak menemui sebarang masalah, seperti sebelumnya.

Roket SpaceX yang membawa 64 satelit kecil dilancarkan buat pertama kali dalam roket yang diguna semula untuk tiga misi angkasa sebelum ini. – AP

Beberapa minit selepas berlepas, bahagian roket yang berwarna putih, dikenali secara formal sebagai peringkat pertama, berpisah daripada peringkat kedua.

Pelancar seterusnya mengeluarkan enjinnya dan membuat pendaratan terkawal, menegak di atas pelantar di Lautan Pasifik, berdasarkan video yang didedahkan oleh SpaceX

Sementara itu, peringkat kedua menuju lebih mendalam ke angkasa lepas, membawa 15 satelit kecil dan 49 CubeSats milik 34 pelanggan berlainan termasuk sumber awam, swasta dan universiti dari 17 negara berlainan termasuk Korea Selatan, Perancis dan Kazakhstan.

Pelancaran itu disewa oleh sebuah syarikat bernama Spaceflight, yang khusus dalam ‘perkongsian perjalanan’ angkasa lepas, atau menempatkan pelbagai satelit di roket yang sama.

Satelit kecil mempunyai berat beberapa puluh paun dan CubeSats adalah lebih kecil.

Satelit berkenaan akan ditempatkan di orbit dalam tempoh beberapa jam akan datang.

Bukan semua pelanggan mempunyai misi saintifik.

Muzium Seni Nevada menghantar satu arca dipanggil ‘Orbital Reflector’ ciptaan artis Trevor Paglen.

Arca boleh kembung itu dicipta untuk keluar daripada satelitnya dan mengelilingi bumi “selama beberapa minggu sebelum hancur berkecai sebaik sahaja memasuki semula atmosfera Bumi,” kata muzium. – AFP