SPAL jumpa Juventus di suku akhir

MILAN, 15 JAN – Kelab Serie B, SPAL mengejutkan kelab liga utama Itali, Sassuolo 2-0 semalam sekali gus mara ke suku akhir Piala Itali menentang Juventus.

SPAL kini satu-satunya kelab dari Serie B yang meneruskan saingan pada kejohanan itu selepas juara bertahan, Napoli menewaskan pasukan pendahulu divisyen kedua, Empoli 3-2 semalam.

Dalam pertembungan antara kedua-dua pasukan dari Emilia-Romagna, Sassuolo terpaksa beraksi di separuh masa kedua dengan 10 orang pemain selepas Filip Djuricic diarahkan keluar padang hanya selepas waktu rehat kerana melakukan kekasaran ke atas Leonardo Sernicola.

SPAL mendahului perlawanan sejurus selepas Djuricic dilayangkan kad merah dengan Simone Missiroli menjaringkan gol menerusi sepakan percuma oleh Demba Seck dan gol kedua dijaringkan Lorenzo Dickmann dengan sepakan voli yang mengagumkan di minit ke-60 untuk mengatasi Sassuolo yang berada di kedudukan kelima di Serie A.

SPAL akan menentang Juventus pada 26 Januari ini apabila bekas juara 13 kali itu menewaskan Genoa 3-2 kelmarin.

Atalanta turut mara ke peringkat seterusnya selepas berjaya menewaskan Cagliari, 3-1 dan akan berdepan menentang antara Lazio atau Parma. – AFP

Aksi Rogerio (kanan) dari Sassuolo ketika merebut bola dengan Enrico Brignola dari SPAL semasa perlawanan Piala Itali di Reggio Emillia, semalam. – AP