ISTANBUL, 7 SEPT – Pakar penyelamat gua Turkiye dan antarabangsa sedang berusaha untuk menyelamatkan ahli speleologi Amerika berusia 40 tahun yang jatuh sakit dan terperangkap lebih 1,000 meter ke dalam gua di selatan Turkiye.
Mark Dickey jatuh sakit semasa ekspedisi antarabangsa di gua Morca di Pergunungan Taurus, Turkiye, menurut Persatuan Penyelamat Gua Eropah.
Dia mengalami pendarahan gastrousus dan tidak dapat keluar dari gua itu sendiri, kata persatuan itu di laman webnya.
Ia menggambarkan Dickey sebagai ‘seorang yang mahir dan berpengalaman dalam aktiviti berkaitan gua’ yang telah menyertai banyak ekspedisi antarabangsa. Beliau adalah setiausaha jawatankuasa perubatan persatuan itu.
Agensi bantuan bencana Turkiye, AFAD dan pasukan penyelamat, UMKE bekerjasama dengan speleologi Turkiye dan antarabangsa dalam rancangan untuk mengeluarkan Dickey dari gua tersebut, kata persatuan penyelamat.
Marton Kovacs daripada Perkhidmatan Menyelamat Gua Hungary berkata persediaan sedang dijalankan dalam gua tersebut bagi memastikan Dickey dapat dikeluarkan dengan selamat.
Laluan sempit telah diperluaskan untuk membolehkan pengusung digunakan untuk mengangkatnya lebih 1,000 meter ke permukaan dan langkah-langkah keselamatan juga sedang diambil bagi mengatasi bahaya batu jatuh.
Pasukan penyelamat yang tiba dari Hungary, Bulgaria, Itali, Croatia dan Poland, berharap proses menyelamat itu boleh dimulakan pada Sabtu atau Ahad. – AP
