BEIJING, 8 JAN – Penyelidik di Institut Zoologi Kunming, di bawah Akademi Sains China, telah menemui spesies baharu amfibia jenis sesilia, spesies kedua amfibia seumpama itu yang pernah direkodkan di negara itu.
Penemuan itu memperkayakan biodiversiti China dan memberikan pandangan berharga untuk memahami evolusi amfibia dengan lebih mendalam, lapor Science and Technology Daily hari ini.
Spesies baharu yang dikenali sebagai sesilia Yang (caecilian Honghe) itu didokumentasikan di Wilayah Autonomi Honghe Hani dan Yi di barat daya wilayah Yunnan. Penemuan itu telah diterbitkan dalam jurnal Asian Herpetological Research.
Setakat ini, spesies baharu tersebut hanya ditemui di kawasan terhad di Daerah Jinping, Yunnan, dengan populasi yang sangat kecil. Oleh itu, penyelidik menekankan perlunya perlindungan ketat terhadap populasi tersebut dan habitatnya.
Sesilia ialah amfibia tanpa anggota badan yang sering disalah anggap sebagai cacing atau ular kecil kerana bentuk tubuh dan matanya yang kecil, merupakan salah satu kumpulan haiwan vertebrat terawal yang menghuni daratan.
Ia mempunyai peranan penting dalam klasifikasi biologi, walaupun jumlah spesiesnya agak terhad dalam kalangan amfibia yang ada. – Xinhua