BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Satu spesies burung baru yang sukar ditangkap telah dilihat di Brunei Darussalam dekat Pusat Penyelidikan Lapangan Kuala Belalong dan Tempat Peranginan Ulu-Ulu di Ulu Temburong, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER) di Universiti Brunei Darussalam (UBD) mencadangkan untuk menangkap dan mengumpulkan beberapa ekor daripada spesies baru berkenaan bagi penyelidikan saintifik dan memberinya nama saintifik.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UBD, hari ini, burung berkenaan adalah ‘spectacled flowerpecker’ dengan bulatan putih menyerlah melingkari mata hitamnya. Walaupun telah dilihat dan digambar beberapa kali oleh ahli-ahli ornitologi di bahagian-bahagian lain Borneo, terutamanya di Lembah Danum, Sabah, ia tidak pernah dikumpulkan bagi penyelidikan saintifik.
Burung berkenaan kemungkinan besar endemik kepada Borneo dan merupakan pakar kanopi, oleh itu jarang dilihat dan mengelakkan dikesan, menurut kenyataan itu lagi.

Saintis utama bagi penyelidikan yang dicadangkan itu ialah calon PhD, Hanyrol Ahmad Sah dari UBD, yang akan dibantu oleh Mahdi Hussainmiya yang juga telah melihat burung berkenaan di Daerah Belait dan diawasi oleh Profesor Ulmar Grafe.
Jika berjaya dikumpulkan, spesies burung berkenaan akan menjadi burung endemik baru keseluruhannya yang pertama secara rasmi digambarkan bagi Borneo bagi tempoh 100 tahun.
Gambarannya dari Ulu Temburong akan menarik ramai ahli-ahli ornitologi dari seluruh dunia untuk melawat Brunei bagi melihat burung endemik Borneo yang jarang ini, sekali gus mempromosikan Brunei sebagai destinasi pelancongan bernilai tinggi.
Bagi maklumat lanjut mengenai projek berkenaan boleh menghantar e-mel ke alamat newflowerpecker@gmail.com.