QUITO, 11 MAC – Spesies kura-kura gergasi baharu telah ditemui di Galapagos selepas ujian DNA mendapati haiwan yang tinggal di satu pulau masih belum direkodkan, kata kementerian alam sekitar Ecuador.
Penyelidik membandingkan bahan genetik kura-kura yang kini hidup di San Cristobal dengan tulang dan cengkerang yang dikumpulkan pada tahun 1906 dari sebuah gua di tanah tinggi pulau itu dan mendapati ia berbeza.
Penjelajah abad ke-20 tidak pernah sampai ke dataran rendah timur laut pulau itu, tempat haiwan itu hidup hari ini dan akibatnya, hampir 8,000 kura-kura sepadan dengan keturunan yang berbeza dengan apa yang difikirkan sebelum ini.
“Spesies kura-kura gergasi yang mendiami Pulau San Cristobal, sehingga kini dikenali secara saintifik sebagai Chelonoidis chathamensis, secara genetik sepadan dengan spesies berbeza,” kata kementerian itu kelmarin di laman sosial Twitter.
Galapagos Conservancy berkata dalam surat berita bahawa spesies Chelonoidis chathamensis “hampir pasti pupus” dan pulau itu sebenarnya telah menjadi rumah kepada dua jenis kura-kura yang berbeza, satu tinggal di tanah tinggi dan satu lagi di dataran rendah.
Terletak di Pasifik kira-kira 1,000 kilometer dari pantai Ecuador, Kepulauan Galapagos ialah kawasan hidupan liar yang dilindungi dan rumah kepada spesies flora dan fauna yang unik. Kepulauan ini terkenal dengan pemerhatian ahli geologi dan naturalis Britain, Charles Darwin mengenai evolusi di sana. – AFP