Spesies lemur Madagascar ‘berdepan kepupusan’

PARIS, 9 JULAI – Hampir kesemua spesies lemur, haiwan primat asli Madagascar, berdepan kepupusan, badan pemuliharaan antarabangsa memberi amaran hari ini, tatkala ia menambah kepada senarai haiwan dan tumbuhan yang terancam.

Daripada 107 spesies lemur di pulau itu, kira-kira 103 adalah terancam, termasuk 33 yang amat terancam, kata Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

Senarai itu menilai 120,372 spesies dan mengelaskan lebih 30,000 spesies yang berisiko berdepan kepupusan.

Panel biodiversiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu IPBES pada tahun lalu mengeluarkan amaran sehingga satu juta spesies menghadapi risiko kepupusan akibat nafsu manusia yang tidak puas untuk membangunkan tanah.

Lemur, ‘harta’ Madagascar, adalah antara kebanyakan spesies berharga yang unik kepada pulau Lautan India.

Di antara lemur yang disenarai sebagai amat terancam adalah Lemur Madame Berthe, primat terkecil di dunia, dan Verreaux’s Sifaka, sebahagian daripada keluarga ‘lemur melompat.’

Kedua-duanya telah melihat ‘kemerosotan besar’ disebabkan habitat mereka dimusnahkan akibat pertanian tebang-dan-bakar dan pembalakan.

“Jika anda musnahkan atau mengubahsuai habitat hutan mereka, mereka tidak boleh hidup,” kata Russ Mittermeier daripada Kumpulan Pakar Primat Suruhanjaya Kehidupan Spesies IUCN. – AFP

Seekor lemur melompat dengan lobak merah dalam mulutnya di taman zoologi di Saint-Pere-en-Retz, pinggir bandar Nantes. – AFP