Spesies siput baharu dinama sempena Greta Thunberg

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Spesies siput baharu yang ditemui di tebing sungai Kuala Belalong, Temburong kini mempunyai nama baharu, Craspedotropis Grethathunberga (gambar bawah), sempena nama aktivis alam sekitar remaja terkenal dunia dan calon Hadiah Nobel, Greta Thunberg.

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Biodiversity Data Journal, Craspedotropis grethathunberga itu merupakan spesies siput kecil dengan saiz hanya dua milimeter panjang dan lebar satu milimeter, mempunyai sesungut berwarna kelabu dan cangkerang cekung.

Haiwan kecil itu ditemui berhampiran tebing sungai Pusat Kajian Lapangan Kuala Belalong di Daerah Temburong oleh sekumpulan penyelidik antarabangsa dan pegawai tempatan dari Universiti Brunei Darussalam.

Saintis J P Lim yang merupakan orang pertama menemui siput itu mengatakan, “Menamakan siput sempena Thunberg adalah cara kami mengiktiraf bahawa generasinya akan bertanggungjawab menyelesaikan masalah yang tidak ditimbulkan oleh mereka. Dan ia satu janji bahawa orang daripada generasi sama akan membantunya.”

Beliau merupakan sebahagian daripada kumpulan saintis yang bekerja dengan saintis-saintis dari Taxon Expedition, sebuah syarikat berpusat di Belanda yang menganjurkan ekspedisi saintifik di kawasan-kawasan terpencil di seluruh dunia.

Pakar siput dan pengasas bersama Taxon Expedition, Dr Menno Schilthuizen dalam satu kenyataan menjelaskan, “Siput baharu itu adalah daripada keluarga digelar Caenogastropoda, satu kumpulan siput tanah yang sensitif dengan keadaan kemarau, suhu ekstrem dan pembasmian hutan.”

Siput-siput itu kebanyakannya ditemui di kawasan-kawasan cerun kaki bukit, berhampiran tebing sungai dan suka mencari makanan pada waktu malam, terutamanya daun-daun hijau, tambahnya.

Nama spesies baharu itu diputuskan hasil undian kumpulan itu bersama pegawai tempatan.

J P Lim ketika memeriksa spesies tersebut di Pusat Kajian Lapangan Kuala Belalong.