Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    SPH bantu memudahkan pengusaha melon manis

    Oleh Kamaliza Kamaruddin

    KUALA TERENGGANU – Pengusaha Melon Manis Terengganu (MMT) sudah menyediakan “payung” bagi menghadapi musim tengkujuh melalui penggunaan struktur pelindung hujan (SPH).

    Tinjauan Bernama di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong dekat Manir di sini mendapati pengusaha Melon Manis Terengganu (MMT) masih menanam buah ikon negeri ini walaupun musim tengkujuh diramal berlaku awal November depan.

    Seorang pengusaha, Tengku Norulhuda Tengku Muhammad, 56, berkata beliau masih menanam buah itu kerana risiko kerugian akibat kerosakan adalah sangat minimum memandangkan tanamannya dilindungi oleh struktur pelindung hujan (SPH), struktur bumbung yang melindungi tanaman daripada hujan lebat sinar matahari terik, yang disediakan Jabatan Pertanian.

    “Sebenarnya, kami yang berada di TKPM Peradong ini perlu mengeluarkan MMT sebanyak tiga kali tuaian setahun di mana pada musim tengkujuh, kami perlu menukarnya kepada sayur-sayuran seperti sawi, lobak putih, kangkung, salad, kailan dan timun.

    “Namun, pada tahun ini, kami tekad mahu meneruskan sehingga empat kali tuaian bagi memenuhi permintaan sempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 pada 22 November depan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Penanam melon manis Terengganu memantau pokok melon yang berusia 30 hari dan baru sahaja mengeluarkan bunga ketika tinjauan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong dekat Manir baru-baru ini. – Bernama

    Musim tengkujuh

    Harga sekilogram MMT dijual pada RM6 untuk pemborong dan dijual pada harga RM8 hingga RM9 di pasaran biasa.

    Beliau berkata walaupun Terengganu sudah mula menerima taburan hujan yang agak kerap dan lebat sejak akhir-akhir ini, beliau menjangka tuaian MMT menjelang MAHA yang akan berlangsung selama 11 hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dekat Serdang, Selangor nanti masih mengekalkan kualitinya yang terbaik.

    Bagi Muhammad Subri Zaid, 33, beliau mengakui pendapatannya akan menurun antara 60 hingga 70 peratus pada musim tengkujuh nanti namun menganggapnya sebagai cabaran biasa yang perlu dilalui petani di Terengganu dengan penuh kesyukuran dan reda.

    “Contohnya jika dalam keadaan biasa kita dapat hasil RM8,000 daripada tuaian MMT, pada musim tengkujuh pula, hasil diperoleh hanya sekitar RM1,800 hingga RM2,200 sahaja,” katanya.

    Muhammad Subri berkata kebiasaannya, petani di negeri ini sudah ‘menyediakan payung sebelum hujan’ untuk memastikan keperluan asas keluarga sentiasa mencukupi sepanjang tengkujuh dan bagi petani tradisional pula, mereka akan menahan pukat di sungai atau melakukan pekerjaan yang lain sementara musim tengkujuh berakhir.

    Seorang lagi penanam MMT, Wan Chik Wan Ahmad, 60, pula berkata tidak semua tanaman akan terjejas teruk pada musim tengkujuh, jadi petani perlu menukar jenis tanaman mereka mengikut cuaca yang sesuai.

    “Macam saya sendiri memang ada tanam cili dan timun sepanjang masa berhampiran rumah kerana kedua-dua jenis tanaman ini tidak mudah rosak walaupun dalam musim tengkujuh.”

    “Saya juga mengeluarkan sedikit modal untuk memasang SPH tanpa jaring di kebun cili dan timun kerana ia adalah pelaburan penting untuk menikmati hasil tanaman yang berbaloi walaupun pada musim tengkujuh,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda