MUMBAI, 20 Sept – Puluhan penerbangan dialihkan dari Mumbai selepas sebuah pesawat SpiceJet terbabas di landasan dan tersangkut di kawasan tanah tatkala hujan lebat membadai ibu negeri kewangan India itu dan menyebabkan kekecohan perjalanan hari ini.
Sekolah-sekolah dan kolej-kolej juga ditutup bagi hari itu sebagai langkah berjaga-jaga selepas hujan monsun lewat kelmarin dan sepanjang malam memberikan kebimbangan akan banjir kilat.
Ribut itu tiba tiga minggu selepas 10 orang terbunuh apabila hujan lebat membanjiri Mumbai, membanjiri rumah-rumah dan laluan-laluan kereta api dan menutup bandar itu selama dua hari.
Hari ini, pegawai-pegawai lapangan terbang cuba mengalihkan pesawat SpiceJet yang tergelincir ketika mendarat pada kira-kira jam 10 pagi kelmarin dan memaksa penutupan landasan utama.
Kesemua 183 penumpang selamat dipindahkan dari penerbangan itu selepas ia terlepas kawasan landasan ketika mendarat dan “tergelincir ke kawasan di luar landasan” disebabkan keadaan basah, menurut penerbangan itu dalam satu keterangan.

“Landasan utama tidak boleh digunakan disebabkan hujan lebat. Hanya landasan kedua sahaja beroperasi dan ia hanya boleh mengendalikan sejumlah penerbangan yang terhad,” Veena Chiplunkar, seorang jurucakap bagi lapangan terbang antarabangsa, memberitahu AFP.
Kira-kira 56 jadual penerbangan dipindahkan disebabkan hujan lebat dan ribut petir semalam, tambahnya.
Beberapa lagi penerbangan dibatalkan sementara para penumpang diberitahu penerbangan ditangguhkan untuk berlepas ketika landasan utama kekal ditutup.
Pesawat itu kekal terkandas pagi ini.
Para pegawai memberi amaran akan kejadian banjir jika hujan lebat bertepatan dengan air pasang, dijangka kira-kira waktu tengah hari, namun Jabatan Kaji Cuaca India berkata keadaan teruk telah lepas.
Pegawai-pegawai kereta api berkata kereta api beroperasi seperti biasa namun penduduk membuat keputusan untuk tidak mengambil risiko, memilih untuk bekerja dari rumah. – AFP