PARIS, 29 Mei – Pendatang Mali yang memanjat blok pangsapuri di Paris untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun telah dipuji sebagai ‘contoh’ oleh Presiden Emmanuel Macron yang mengalu-alukannya ke istana presiden semalam dan menawarkan kepadanya kerakyatan negara itu.
Dua hari selepas tindakannya itu, video aksinya yang tular secara dalam talian telah ditonton jutaan kali. Mamoudou Gassam digelar sebagai ‘Spiderman’ oleh media tempatan kerana kebolehannya untuk memanjat bangunan, mendapat jemputan Macron ke Istana Elysee.
“Anda menjadi contoh kerana jutaan orang menonton anda. Negara sepatutnya amat bersyukur,” kata Macron kepada Gassam, 22, sambil menambah bahawa status imigresennya akan diuruskan.
Ketika pertemuan itu, Macron juga mencadangkan Gassama, yang menerima pingat dan sijil kerana keberanian itu, menyertai pasukan bomba Perancis.
“Saya tidak berfikir apa-apa. Saya terus memanjat,” kata lelaki itu, yang memakai jean dan baju lengan pendek.

Gassama juga menerima ucapan daripada Presiden Mali, Ibrahim Boubacar Keita, yang menelefonnya di kedutaan Paris untuk mengucapkan tahniah kepadanya untuk memberi penghormatan kepada semua penduduk Mali, kata kedutaan itu.
Tindakan beraninya yang menjadi berita utama bagi kebanyakan laman web dan saluran televisyen Perancis, dibuat ketika ahli perundangan negara itu membahaskan rang kontroversi yang akan mempercepatkan pengusiran pendatang dan pemohon yang gagal.
Gassama tinggal secara haram di Perancis dan bekerja di kawasan pembinaan selepas tiba di negara itu September lalu dari negaranya ke Libya kemudian ke Itali. – AFP