Monday, December 2, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    SPL kembali 17 oktober ini

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Liga Perdana Singapura AIA (SPL) yang dinanti-nantikan bagi musim 2020 akan disambung semula pada 17 Oktober nanti selepas hampir tujuh bulan ditangguhkan disebabkan oleh penularan COVID-19.

    Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) telah menerima kebenaran untuk menyambung semula liga selepas Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia (MYYC) Singapura, Edwin Tong membuat pengumuman tarikh menyambung semula liga baru-baru ini.

    Pengumuman dibuat selepas ujian swab COVID-19 ke atas kesemua 223 pemain dan pegawai perlawanan didapati negatif. Angka tersebut hanya berdasarkan lapan buah pasukan SPL yang berpangkalan di Singapura. Kementerian turut menambah bahawa kesemua perlawanan akan diadakan tanpa kehadiran peminat sementara jurulatih dan pegawai pasukan adalah dimestikan untuk memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah keselamatan.

    Beliau menulis menerusi laman Facebook beliau, “203 hari – tarikh terakhir kita menyaksikan kelab SPL beraksi. Kini penantian berakhir.

    “Tempoh rehat yang lama tetapi pemain-pemain, jurulatih dan pegawai perlawanan tidak sabar untuk kembali beraksi,” menurut Tong.

    Aksi penyerang DPMM FC, Andrei Varankou cuba untuk melepaskan diri daripada kawalan pemain Tampines Rovers semasa pertemuan pada Mac lalu. – Gambar fail Infofoto

    Sementara itu, Presiden FAS, Kim Kia Tong berkata, ”Kami sangat gembira dengan keputusan yang telah diumumkan oleh MCCY Singapura mengenai menyambung semula SPL.

    “Ini merupakan kejayaan FAS dan kelab-kelab SPL, bersama dengan Sukan Singapura dan pihak berkuasa kerajaan yang lain, yang bekerja keras dalam beberapa minggu kebelakangan.

    “FAS akan memastikan kesemua langkah protokol keselamatan COVID-19 akan dilaksanakan dengan ketat bagi memastikan liga dapat disambung semula dengan lancar dan berharap ia akan menjadi permulaan kepada lebih banyak liga dan acara sukan tempatan dapat disambung semula.”

    Juara bertahan, DPMM FC, hanya bermain sekali musim ini semasa mencatat kemenangan 2-0 ke atas Tampines Rovers FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada awal Mac lalu.

    Lapan buah pasukan SPL telah menyambung semula latihan mereka pada 20 Jun lalu dalam kumpulan kecil seramai lima orang dan tidak dibenarkan bersentuh, sebelum mereka kembali menyambung latihan penuh pada 30 Ogos lalu. Menyambung semula liga berada dalam perancangan selepas pemain-pemain SPL dan pegawai perlawanan menjalani ujian swab pada 4 Oktober lalu.

    Senarai perlawanan telah dikeluarkan dengan Tanjong Pagar akan menerima kunjungan Balestier Khalsa FC sementara pendahulu liga, Tampines Rovers FC akan berdepan Hougang United FC semasa tarikh menyambung semula liga.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda