LOS ANGELES – Kehadiran filem seram terbaru, Rings ternyata belum mampu menggugat kedudukan Split yang terus mendominasi carta apabila berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$14.6 juta setelah ditayangkan di 3,373 pawagam.
Filem arahan M.Night Shyamalan keluaran Universal yang dibintangi oleh James McAvoy itu jelas telah memberikan keuntungan berlipat kali ganda daripada kos pembikinan sebanyak AS$10 juta yang dilaburkan apabila berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$98 juta secara keseluruhan selama 17 hari ia ditayangkan.
Sebanyak 74 peratus daripada penonton menyatakan bahawa penceritaan di dalam filem Split adalah sesuatu yang baru dan segar di mana perkara tersebut jelas mempengaruhi mereka untuk memilih filem tersebut berbanding Rings.
Rings keluaran Paramount pula harus akur menduduki tangga kedua dalam carta dengan mengumpulkan kutipan sebanyak AS$13 juta setelah ditayangkan di 2,931 pawagam.
Setentunya ramai yang mengetahui bahawa Rings adalah sebuah filem yang dihasilkan semula berdasarkan sebuah filem seram popular Jepun pada tahun 1998 dan turut pernah diadaptasi ke dalam versi Bahasa Inggeris berjudul The Ring dibintangi oleh Naomi Watts yang ditayangkan pada tahun 1998.
Kini, filem seram yang menelan belanja kos pembikinan sebanyak AS$25 juta itu mengisahkan mengenai sumpahan sebuah rakaman video ini diarahkan oleh Javier Gutierrez dan dibintangi oleh Matilda Lutz, Alex Roe, Johnny Galecki, Vincent D’Onofrio, Aimee Teegarden dan Bonnie Morgan.
Filem penuh kontroversi, A Dog’s Purpose keluaran Universal pula menduduki tangga ketiga dengan jumlah kutipan sebanyak AS$10.8 juta setelah ditayangkan di 3,178 pawagam.
Walaupun kutipan filem yang menelan kos perbelanjaan sebanyak AS$25 juta itu menurun sebanyak 52 peratus berbanding minggu lalu namun ternyata ia telah berjaya mengumpulkan sebanyak AS$30 juta secara keseluruhan setelah ditayangkan selama dua minggu.
Hidden Figures yang merima banyak pencalonan di Anugerah Oscar pula menduduki tangga keempat dengan kutipan sebanyak AS$10.1 juta setelah ditayangkan di 3,401 pawagam.
Secara keseluruhan, filem yang mengisahkan mengenai penglibatan wanita berkulit hitam itu telah berjaya meraih kutipan setinggi AS$120 juta secara keseluruhan.
Sementara La La Land keluaran Lionsgate pula menduduki tangga kelima dalam carta apabila berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$7.5 juta setelah ditayangkan di 3,236 pawagam.
Filem yang mendapat 14 pencalanon dalam Anugerah Oscar itu telah berjaya mengumpulkan kutipan setinggi AS$117 juta secara keseluruhan di sepanjang dua bulan ia ditayangkan di pawagam.
Antara filem yang baru ditayangkan pada minggu ini adalah The Space Between Us keluaran STX yang menampilkan elemen sains fiksyen dan romantik di mana sambutannya dianggap kurang menyerlah apabila hanya berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$5 juta setelah ditayangkan di 2,812 pawagam.
The Space Between Us yang menelan kos perbelanjaan sebanyak AS$30 juta itu dibintangi oleh Gary Oldman, Asa Butterfield, Carla Gugino, and Britt Robertson yang mengisahkan mengenai seorang lelaki yang dilahirkan di planet Mars dan telah jatuh cinta dengan seorang gadis lakonan Britt Robertson.