SPM 2020 bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 21 FEB – Kurang 24 jam lagi, seramai 401,105 pelajar seluruh negara akan melangkah ke ‘medan perang pen dan kertas’, Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bermula esok dalam suasana pembudayaan norma baharu.

Kelainan bagi calon SPM 2020, mereka bukan sahaja hadir ke dewan peperiksaan dengan ‘berbekalkan’ pen dan pengetahuan, malah kali ini mereka perlu membawa ‘bekalan tambahan’ iaitu penutup mulut dan hidung serta cecair pembasmi kuman untuk mencegah penularan COVID-19.

Bagi menjamin keselamatan calon sepanjang peperiksaan itu, persiapan akhir di 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara dilaksanakan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi dewan peperiksaan. – Bernama