Oleh Syahmi Hassan
BAGI mencapai matlamat untuk Wawasan Brunei 2035, salah satu daripada lapan strategi yang dikenal pasti adalah Strategi Pendidikan. Visi Kementerian Pendidikan adalah Pendidikan Berkualiti Ke Arah Negara yang Membangun, Aman dan Sejahtera.
Di bawah visi berkenaan ada menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan mengenal pasti hubungan antara pendidikan dan prestasi ekonomi, penyertaan dalam ekonomi global dan pembangunan masyarakat yang berilmu melalui pendidikan yang berkualiti.
Pendidikan yang berkualiti bertujuan untuk membangunkan dan melengkapkan anak-anak kita dari segi moral, intelek, fizikal, sosial dan estetika dengan nilai-nilai yang betul dan kemahiran yang sesuai untuk menjadi warganegara yang dinamik yang bertanggungjawab dan mampu menyumbang secara positif kepada negara.
Kementerian Pendidikan komited dalam menyediakan sistem pendidikan yang mempersiapkan anak-anak muda untuk peranan masa depan orang dewasa yang berkebolehan, kreatif, rakyat yang boleh berfikir yang boleh menyumbang dan memberi manfaat kepada keluarga mereka, komuniti dan masyarakat. Sementara itu, misi kementerian adalah untuk memberikan pendidikan yang holistik(sempurna) bagi mencapai potensi yang penuh bagi semua.
Gambar oleh Siti Nur Wasimah S.
Di bawah Wawasan 2035, tujuannya adalah untuk merubah Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang diiktiraf secara meluas sebagai rakyatnya yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran tinggi sepertimana yang dihasratkan dalam Wawasan 2035 dengan menempatkan negara dalam kalangan 10 negara-negara teratas di dunia serta ekonomi yang dinamik dan mampan.
Bagi mencapai hasrat tersebut, sistem pendidikan yang kukuh adalah penting bagi negara ini dan penduduknya. Sistem pendidikan yang ada pada masa ini juga sebahagian besarnya telah terbukti dapat menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada rakyatnya. Beberapa perubahan yang kecil juga telah dibuat bagi mengadaptasi beberapa perubahan yang telah berlaku di rantau ini mahupun di arena global.
Walau bagaimanapun, masih banyak lagi yang perlu dibuat selaras dengan tekanan ekonomi, teknologi, informasi, demografi dan politik yang telah banyak mengubah cara hidup dan cara manusia bekerja. Pelajar mestilah dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang relevan bagi membolehkan mereka melakukan pelbagai aspek kehidupan seperti alam pekerjaan berasaskan teknologi dalam dunia yang berbeza dan luas ini.
Oleh itu, kita perlu mengurangkan jurang antara cara pembelajaran dengan cara kehidupan sebenar pelajar agar sistem pendidikan ini akan menjadi lebih relevan dan bermakna kerana apa yang kita anggap sempurna hari ini tidak sama seperti yang kita jangkakan di masa akan datang.
Kementerian Pendidikan telah menghasilkan satu laporan kajian umum mengenai perkembangan pendidikan dengan meninjau kembali 20 tahun yang lalu. Laporan ini telah mengutarakan mengenai kejayaan dan juga cabaran-cabaran dalam sistem pendidikan masa ini. Dalam usaha untuk menghadapi isu-isu tersebut, Kementerian Pendidikan telah pun menyediakan satu perancangan untuk 20 tahun akan datang.
Satu pelan strategik telah dibentuk yang meliputi semua usaha untuk melaksanakan perubahan pendidikan ke tahap yang baru dengan memfokuskan kepada 3 tema strategik: Organisasi yang Profesional, Bertanggungjawab dan Efisien; Pendidikan Berkualiti; dan Pembelajaran dan Pengajaran yang Cemerlang.
Berikutan dengan ini, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan perubahan-perubahan yang diperlukan dan drastik kepada sistem pendidikan melalui satu cadangan sistem yang baru dikenali sebagai Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 atau SPN21. Kementerian Pendidikan juga berpendapat bahawa SPN21 merupakan satu landasan dalam usaha untuk merealisasikan matlamat-matlamat dalam Wawasan Brunei 2035.
SPN21
Pengenalan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2007-2011 dan Pelan Strategik 2012-2017 telah memberikan induktor tentang hasrat Kementerian Pendidikan mengenai ‘kes bagi perubahan’ untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah yang bertujuan untuk memperbaiki pencapaian pendidikan dan juga perkembangan individu secara holistik di negara ini. Komitmen Kementerian Pendidikan ke arah pendidikan yang cemerlang ini dapat dilihat melalui pernyataan misi dan visi kementerian. Perkara ini sangat penting dalam suasana perubahan yang pantas pada masa ini seperti meningkatnya persaingan dan globalisasi.
Kerangka kurikulum dan penilaian SPN21 bagi sekolah-sekolah adalah bertujuan untuk memenuhi inisiatif Pelan Strategik Kementerian Pendidikan dalam pendidikan berkualiti. Ini termasuk kemahiran-kemahiran kritikal dalam matematik, sains, bahasa dan ICT; kemahiran keusahawanan dan pendidikan sepanjang hayat; dan kemahiran-kemahiran belajar dan juga nilai-nilai pendidikan.
SPN21 ini adalah titik permulaan dalam menyediakan asas bagi dasar pembelajaran dan penilaian di sekolah untuk disejajarkan dengan keperluan dan kehendak abad ke-21. Fenomena globalisasi dan digitalisasi di abad ke-21 telah membawa cabaran-cabaran yang baru kepada pendidikan. Selain dari memfokuskan kepada perkembangan kognitif dan perkembangan kemahiran, aspek-aspek pendidikan holistik yang lain seperti penyemaian nilai rohani, moral, sosial, sikap dan nilai budaya, serta perkembangan jasmani juga ditekankan.
Terdapat lapan arah dasar yang disenaraikan di bawah Strategi Pendidikan, di antaranya adalah seperti berikut; (1) pelaburan dalam pendidikan awal kanak-kanak; (2) mengamalkan amalan terbaik antarabangsa dalam pengajaran dan pembelajaran; (3) mempunyai kelas pertama pendidikan menengah dan tinggi, termasuk sekolah vokasional, yang menghasilkan pakar, profesional dan juruteknik diperlukan dalam perdagangan dan industri; (4) mengukuhkan keupayaan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk pelajar, guru dan pentadbir pendidikan, termasuk integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran; (5) merangka program-program yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan meluaskan akses ke pendidikan tinggi; (6) menggalakkan penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam institusi yang dibiayai oleh kerajaan dan juga melalui perkongsian awam-swasta dan antarabangsa; (7) mengamalkan kaedah-kaedah yang kos efektif untuk mendidik rakyat melalui penggunaan teknologi; dan (8) meningkatkan pengurusan semua institusi pendidikan.
Perkara berkenaan dinyatakan dalam pelan strategik di mana kejayaan Strategi Pendidikan bergantung kepada nilai berasaskan orientasi dalam kalangan setiap individu yang bekerja di peringkat operasi dalam semua fungsi yang wujud di pelbagai peringkat Kementerian Pendidikan. Nilai-nilai teras yang menyokong orientasi berkenaan termasuklah akauntabiliti, integriti, kepimpinan, kejujuran, hormat-menghormati dan juga kerja berpasukan.
Bagi memastikan Pelan Strategik berkenaan berjaya, Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti sembilan faktor kejayaan yang kritikal: (1) pelaksanaan dan pemantauan sistem berterusan dan berkesan; (2) sokongan masyarakat yang kukuh; (3) komunikasi yang berkesan; (4) sumber kewangan yang mencukupi; (5) infrastruktur yang mencukupi; (6) pernyataan dasar yang jelas; (7) penyelidikan dan perancangan yang berkesan; (8) kepimpinan kualiti; dan (9) tenaga kerja yang kompeten, berkualiti dan komited.


































