Friday, August 19, 2022
24.2 C
Brunei

Sporting Lisbon, Ajax mara pusingan kalah mati

-

LISBON, 25 NOV – Pedro Goncalves menjaringkan dua gol buat Sporting Lisbon untuk menewaskan Borussia Dortmund 3-1 yang beraksi dengan 10 pemain sekali gus mara ke saingan 16 terbaik serta melenyapkan harapan skuad dari Jerman itu untuk mara ke pusingan kalah mati.

Sporting berjaya mendapatkan margin dua gol dikehendaki untuk layak ke pusingan 16 terbaik buat pertama kali sejak musim 2008-2009 apabila berada di kedudukan kedua Kumpulan C di belakang Ajax.

Kekalahan di tempat lawan itu menyaksikan Dortmund perlu beraksi di peringkat kalah mati Liga Europa.

“Mereka lebih konsisten, tidak memberi peluang dalam situasi genting,” kata jurulatih Dortmund, Marco Rose.

“Kami terlalu mudah melepaskan gol dan terlalu banyak melakukan kesilapan.”

Skuad dari Jerman itu dilihat hilang pedoman akibat ketiadaan penyerang Erling Braut Haaland yang dibelenggu kecederaan.

Sementara itu, Sebastien Haller masuk sebagai pemain ganti dan meledak dua gol untuk kebangkitan Ajax ketika menewaskan Besiktas 2-1 di Turki untuk mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan C Liga Juara-Juara Eropah.Juara Belanda itu mengekalkan rekod 100 peratus kumpulan dengan kemenangan kelima berturut-turut. Haller pula mengumpul sembilan gol dalam kejohanan musim ini.

Ajax hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan tempat teratas, tetapi dikejutkan dengan penalti awal permainan selepas bola terkena tangan pertahanannya Noussair Mazraoui.

Pemain tengah Algeria Rachid Ghezzal menyempurnakan sepakan penalti untuk tuan rumah dan mendahului permainan pada minit ke-22. – AFP

Pedro Goncalves terlepas sepakan panalti semasa perlawanan Kumpulan C di antara Sporting dan Borussia Dortmund di stadium Jose Alvalade di Lisbon pada 24 November. – AFP
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Darurat banjir di wilayah pulau selatan New Zealand

WELLINGTON, 18 OGOS – Wilayah Pantai Barat dan Nelson-Tasman di Pulau Selatan New Zealand dilanda hujan lebat dan banjir. Darurat tempatan masih kekal di kawasan...
- Advertisment -