Spotify meterai perjanjian peroleh Findaway

NEW YORK, 12 NOV – Spotify Technology, hari ini mengumumkan bahawa ia telah memeterai satu perjanjian muktamad untuk memperoleh Findaway, sebuah peneraju dunia dalam pengedaran buku audio digital. Syarat-syarat bagi urus niaga itu tidak didedahkan.

Bersama-sama, Spotify dan Findaway akan mempercepatkan kemasukan Spotify ke dalam industri buku audio yang sedang berkembang pesat, sekali gus membolehkan inovasi yang lebih pantas dan membawa buku audio kepada ratusan juta pendengar Spotify yang sedia ada.

Infrastruktur teknologi Findaway akan membolehkan Spotify untuk menskalakan katalog buku audio mereka dengan cepat dan berinovasi pada pengalaman untuk pengguna, dan pada masa yang sama menyediakan saluran baharu untuk penerbit, pengarang dan pencipta bebas untuk menjangkau kepada audiens baharu di seluruh dunia.

Pemerolehan itu menempatkan Spotify untuk merevolusikan ruang dalam cara yang sama seperti muzik dan audio siar, memperkasakan kandungan untuk menjangkau kepada audiens yang luas di platform global mereka.

“Adalah menjadi cita-cita Spotify untuk menjadi destinasi bagi semua perkara yang berkaitan audio untuk pendengar dan pencipta. Pengambilalihan Findaway akan mempercepatkan kehadiran Spotify dalam ruang buku audio dan akan membantu kami memenuhi cita-cita itu dengan lebih cepat,” kata Gustav Soderstrom, Ketua Pegawai Penyelidikan & Pembangunan Spotify. – Bernama