SPRM panggil bekas KP

PUTRAJAYA, 5 Dis – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad hadir di ibu pejabat SPRM di sini hari ini dipercayai bagi memberi keterangan dalam siasatan berhubung pindaan pada laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang tiba pada 10.25 pagi sempat melontarkan senyuman serta melambaikan tangan kepada wakil media yang menunggu di lobi bangunan SPRM itu. Dzulkifli dipercayai antara saksi yang dipercayai dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berkenaan.

Pada 25 Nov lalu, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB telah diubah dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahu perkara itu.

Antara lain Madinah mendedahkan bahawa dua perkara penting yang digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang terbabit dalam pindaan itu ialah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh, bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan. – Bernama

Tan Sri Dzulkifli Ahmad hadir di ibu pejabat SPRM kelmarin dipercayai bagi memberi keterangan dalam siasatan berhubung pindaan pada laporan akhir audit 1MDB. – Bernama