SPRM Sarawak tahan 60 individu setakat 14 Okt tahun ini

TEBEDU, SARAWAK, 15 OKT – Bagi tempoh Januari tahun ini hingga semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah menahan 60 individu atas  pelbagai kesalahan rasuah melibatkan nilai suapan berjumlah RM2,369,121.60.

Pengarahnya Mohd Zaki Hassan berkata daripada jumlah itu, 30 individu sudah didakwa di mahkamah.

“Keseluruhannya sebanyak 49 kertas siasatan dibuka dengan 19 disiasat menurut  Seksyen 17(b) (Akta SPRM 2009 kerana memberi suapan kepada penjawat awam, manakala 12 kes di bawah Seksyen 17(a) iaitu menerima suapan. Sebanyak 11 kes lagi disiasat mengikut Seksyen 23 iaitu menyalahgunakan kedudukan jawatan, enam kes disiasat di bawah Seksyen 18 berhubung tuntutan palsu manakala satu kes di bawah Seksyen 16(a)(a) kerana meminta rasuah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Sempadan Kita, Maruah Kita bersama agensi penguatkuasaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini hari ini.

Mohd Zaki berkata berdasarkan statistik itu, kesalahan memberi suapan kepada penjawat awam merekodkan jumlah tertinggi, sekali gus membayangkan ada laporan daripada penjawat awam tentang tawaran sogokan oleh pihak ketiga. – Bernama

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sarawak, Mohd Zaki Hassan (dua, kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Poster ‘Sik Mok Rasuah’ (Tidak Mahu Rasuah) dalam Bahasa Melayu Sarawak pada Program Sempadan Kita, Maruah Kita bersama agensi penguatkuasa di sempadan Negeri Sarawak di Pejabat Imigresen ICQS, kelmarin. – Bernama