S’pura benarkan penerima suntikan pilih vaksin COVID-19

SINGAPURA, 14 APRIL – Warga Singapura yang mahu menerima suntikan vaksin kini dibenarkan memilih jenis vaksin COVID-19 dengan merujuk laman sesawang Kementerian Kesihatan (MOH) negara itu.

Menurut laporan The StraitsTimes, laman itu akan menyenarai semua pusat vaksinasi yang sedia ada dan jenis vaksin yang tersedia. Vaksin Moderna diagihkan di 11 daripada 38 pusat manakala bakinya menggunakan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.

Orang ramai boleh memilih pusat vaksinasi atau poliklinik mana yang ingin mereka kunjungi walaupun terdapat notis di laman sesawang terbabit menyatakan sesetengah pusat vaksinasi mungkin mempunyai tempat terhad.

Ini berikutan permintaan yang tinggi bagi vaksinasi COVID-19 di Singapura dan bekalan vaksin yang terhad.

Vaksin COVID-19 Pfizer adalah yang pertama diluluskan untuk digunakan di Singapura, dengan penghantaran pertama tiba seawal lewat Disember tahun lalu.

Bulan lalu, MOH mengumumkan bahawa suntikan vaksin Moderna akan dilaksanakan di empat kelab masyarakat termasuk Hong Kah North, Marsiling, Punggol 21 dan Radin Mas.

Pusat vaksinasi yang lain, poliklinik dan Klinik Kesediaan Kesihatan Awam lain akan terus menawarkan vaksin Pfizer.

Bulan lalu, MOH mengumumkan bahawa setiap pusat vaksinasi akan hanya menyimpan dan memberikan satu jenis vaksin. Individu perlu memilih pusat vaksinasi yang sama bagi janji temu pertama dan kedua apabila membuat tempahan melalui sistem janji temu nasional. – Agensi