S’pura gesa junta Myanmar segera laksana lima konsensus ASEAN

SINGAPURA, 7 DIS – Singapura bimbang dengan perkembangan terkini di Myanmar dan menggesa junta untuk segera melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara, termasuk membenarkan Duta Khas ASEAN ke Myanmar untuk bertemu semua pihak yang berkenaan.

Dalam satu kenyataan Kementerian Luar (MFA) Singapura di sini pada Selasa, republik ini turut menggesa agar semua tahanan politik dibebaskan termasuk Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden U Win Myint dan tahanan asing. Kenyataan sebagai menjawab pertanyaan media mengenai perkembangan terbaharu di Myanmar itu juga menyatakan bahawa junta harus mengelakkan tindakan yang akan memudaratkan keamanan negara dan merencatkan usaha pemulihan keamanan serta kestabilan di Myanmar.

Pada Isnin (6 Nov) U Win Myint dan Aung San Suu Kyi dilaporkan dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas tuduhan menghasut di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan kerana melanggar undang-undang pengurusan bencana alam negara. Bagaimanapun, hukuman itu masing-masing dikurangkan kepada dua tahun di bawah Seksyen 401 (1) Kanun Prosedur Jenayah dan U Win Myint serta Aung San Suu Kyi ditahan di lokasi sama yang masih dirahsiakan. Selepas mereka ditahan pada 1 Feb bersama pegawai parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang lain, pentadbiran negara Myanmar berpindah kepada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Kanan Aung Hlaing selepas darurat diisytiharkan. 

Sejak ditahan, Aung San Suu Kyi dituduh melakukan 11 kesalahan, antaranya melanggar Akta Rahsia Rasmi, manakala U Win Myint menghadapi dua pertuduhan menghasut dan melanggar undang-undang pengurusan bencana alam. Pada 2 April 2021, sidang kemuncak ASEAN di Jakarta bersidang untuk membincangkan situasi di Myanmar dan bersetuju dengan Konsensus Lima Perkara yang antara lain menggesa keganasan di Myanmar segera ditamatkan, dialog konstruktif dalam kalangan semua pihak, pelantikan duta khas ASEAN untuk memudahkan dialog dan penghantaran bantuan kemanusiaan.  – Bernama