S’pura guna iris, wajah di imigresen

SINGAPURA, 28 OKT – Corak iris (mata hitam) dan ciri-ciri wajah akan menggantikan cap jari sebagai pengenalan biometrik primer untuk pelepasan imigresen di Singapura.

Menurut kenyataan bersama Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Agensi Sains dan Teknologi Home Team hari ini, cap jari akan digunakan sebagai pengenalan bio-metrik sekunder terhadap individu yang gagal dalam imbasan iris serta wajah.

“Penggunaan imbasan iris dan wajah merupakan sebahagian perancangan kami untuk mentransformasikan pusat pemeriksaan Singapura bagi menawarkan pelepasan imigresen yang lebih selamat dan cekap kepada pelawat.

“Kami menyasarkan untuk merealisasikan Konsep Pelepasan Baharu (NCC) kami di pusat pemeriksaan kami menjelang 2022,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, selain pelepasan biometrik pelbagai modus, konsep ini pada akhirnya akan membolehkan penduduk Singapura melepasi pemeriksaan imigresen di pusat pemeriksaan tanpa perlu menunjukkan pasport.

Semua lorong dan kaunter automatik serta manual imigresen di pusat pemeriksaan darat, laut dan udara di Singapura telah dilengkapi mesin pengimbas iris dan wajah sejak Julai lepas.

Untuk imej iris, ICA telah mula mendapatkan data daripada rakyat serta pemastautin tetap Singapura sejak 1 Januari 2017.

Menerusi penggunaan corak iris sebagai ganti cap jari, isu kegagalan mendapatkan pengesahan cap jari disebabkan kemerosotan kesan cap jari akibat penuaan, parut atau kekeringan kulit dapat dielakkan.

Imbasan iris juga menyediakan hampir 250 ciri untuk padanan berbanding hanya sekitar 100 untuk cap jari, demikian menurut kenyataan itu. – Bernama