S’pura guna pengesahan wajah tahun hadapan

SINGAPURA, 18 OKT – Republik Singapura akan menjadi negara pertama yang menggunakan pengesahan identiti rakyatnya menggunakan wajah bagi melicinkan pelbagai urusan dengan agensi kerajaan, perkhidmatan perbankan dan kemudahan awam lain yang bermula tahun hadapan.

Akan tetapi rancangan tersebut mendapat bantahan kumpulan penyokong hak kerahsiaan yang mendakwa sistem itu sebagai satu teknik menceroboh hak kerahsiaan penduduk dan bimbang ia akan disalah guna.

Bagaimanapun, pencipta sistem berkenaan menegaskan pemeriksaan biometrik itu akan mengganti kaedah sebelum ini yang memerlukan seseorang menghafal kata laluan atau kunci keselamatan ketika melakukan pelbagai tugas harian.

Ia dilaporkan menjadi sebahagian daripada usaha hab kewangan itu untuk memanfaatkan teknologi bagi segala urusan pembayaran elektronik termasuk dalam aktiviti penyelidikan sistem pengangkutan tanpa pemandu.

“Kami mahu menjadi inovatif dengan menerapkan teknologi bagi kepentingan rakyat dan perniagaan kami,” kata Kwok Quek Sin, yang bekerja di bahagian pengenalan digital dalam agensi teknologi Singapura, GovTech, memberitahu AFP.

Pengesahan wajah digunakan dalam pelbagai bentuk di seluruh dunia, selain Apple dan Google menerapkan teknologi untuk tugas seperti membuka telefon dan membuat transaksi pembayaran.

Kerajaan turut menggunakannya di lapangan terbang bagi pemeriksaan keselamatan terhadap pelancong.

Singapura adalah antara negara yang komited melaksanakan sistem canggih ini dan menjadi antara yang pertama menggunakan teknologi mengimbas wajah untuk direkodkan ke pangkalan data pengenalan kebangsaan.

Teknologi itu merakam rangkaian gambar wajah seseorang dalam pelbagai keadaan dan gambar itu dipadankan dengan data lain yang tersedia dalam rekod kerajaan seperti kad pengenalan, pasport dan pas pekerjaan. – AFP

Gambar yang diambil pada 1 Oktober menunjukkan kakitangan agensi teknologi GovTech menunjukkan penggunaan teknologi pengesahan wajah untuk akses perkhidmatan kerajaan di Singapura. – AFP