S’pura-hong kong setuju ‘gelembung perjalanan’

SINGAPURA, 15 OKT – Singapura dan Hong Kong telah mencapai persetujuan perjanjian prinsip dasar untuk mewujudkan ‘gelembung perjalanan udara’ (Air Travel Bubble – ATB) dua hala.

“Ini adalah satu langkah utama memandangkan Hong Kong dan Singapura, kedua-duanya merupakan hab penerbangan serantau,” menurut Menteri Pengangkutan republik itu, Ong Ye Kung ketika mengumumkan perkara itu dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.

“Kami mampu mengawal pandemik ini. Kami hadir bersama-sama untuk berbincang dan mewujudkan ATB ini,” katanya sambil memaklumkan ATB berkenaan akan meningkatkan hubungan kedua-dua negara.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini berkata perjanjian prinsip dasar itu dicapai ketika sidang video pada 14 Oktober melibatkan Ong dan Setiausaha Pembangunan Ekonomi dan Perdagangan Wilayah Pentadbiran Istimewa Hong Kong Edward Yau.

Antara ciri utama ATB ialah tiada sekatan dikenakan untuk tujuan perjalanan; dan pengembara tidak akan dikenakan mana-mana syarat-syarat kuarantin atau Notis Duduk Di Rumah (SHN) atau jadual perjalanan yang dikawal.

Pengembara di bawah ATB perlu membuat perjalanan menerusi penerbangan khusus yang hanya melibatkan pengembara ATB dan tiada penumpang transit atau pengembara bukan ATB dibenarkan menaiki pesawat itu.

Ciri utama lain ialah pengembara perlu melalui ujian COVID-19 Polymerase Chain Reaction (PCR) dengan keputusan negatif.

Dengan hasrat mencapai pelaksanaan perkara ini dengan lebih awal, kedua-dua kerajaan komited untuk memberikan butiran mengenai ATB dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Tarikh pelancaran ATB Singapura-Hong Kong dan butiran pelaksanaan yang lain akan diumumkan pada masa yang sesuai, menurut kementerian itu.

Sehingga kini, Hong Kong merekodkan 5,201 kes COVID-19 dengan kira-kira 95 peratus telah pulih dan 105 orang dilaporkan meninggal dunia.

Singapura pula mencatatkan 57,889 kes positif dengan kira-kira 99 peratus telah pulih dan 28 kematian. – Bernama