Monday, November 28, 2022
31.8 C
Brunei

-

S’pura kukuh kerjasama dengan Arab Saudi

SINGAPURA, 22 NOV – Singapura dan Arab Saudi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama untuk Masa Depan Mobiliti dan Inovasi serta perjanjian untuk meningkatkan Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) dua hala.

Menerusi MoU itu, Singapura dan Arab Saudi akan mengukuhkan kerjasama dalam menyokong penggunaan dan pemerolehan teknologi terkini dalam sektor pengangkutan.

Kedua-dua negara akan berkongsi maklumat dan bertukar pengalaman dalam bidang seperti kenderaan tenaga bersih serta kenderaan autonomi.

“Singapura dan Arab Saudi berkongsi hubungan dua hala kukuh yang telah lama terjalin,” kata Menteri Pengangkutan dan Menteri yang bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan republik itu, S Iswaran dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Iswaran berkata pemeteraian itu menandakan komitmen Singapura untuk mengukuhkan kerjasama dengan Arab Saudi dan tepat pada masanya ketika kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik.

“MoU itu akan merangsang pertukaran idea dan amalan terbaik dalam mobiliti dan inovasi manakala ASA yang dipertingkatkan akan memudahkan ketersambungan udara antara Singapura dan Arab Saudi yang menyediakan peluang pasaran lebih luas kepada syarikat pengangkutan udara kami,” kata S Iswaran.

ASA baharu ini berkuat kuasa serta-merta. ASA antara Singapura dan Arab Saudi pertama kali ditandatangani pada 1990.

Ini adalah peningkatan keempat ASA sejak ditandatangani. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Ratusan bantah sekatan COVID China

BEIJING, 27 NOV – Bantahan terhadap kawalan koronavirus di China yang telah mengurungkan jutaan penduduk di rumah telah merebak ke Shanghai dan bandar lain...
- Advertisment -