S’pura minat sambung laluan berbumbung

ISKANDAR PUTERI, 13 SEPT – Kerajaan Singapura berminat menyambung pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor yang dicadangkan kerajaan Malaysia bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan orang ramai di laluan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor Mohd Solihan Badri berkata hasrat tersebut disampaikan kepada beliau menerusi Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru, dua bulan lepas.

Beliau berkata pada peringkat awal, kerajaan negeri Johor memohon peruntukan RM15 juta bagi laluan pejalan kaki sahaja, namun, ia ditingkatkan menjadi RM30 juta awal tahun ini, selepas reka bentuk semula dilakukan dengan penambahan eskalator serta laluan berbumbung dilengkapi pendingin hawa. – Bernama