S’pura mohon maaf tersilap hantar mesej

SINGAPURA, 19 MEI – Singapura telah meminta maaf kepada lebih 350 orang yang dijangkiti COVID-19 kerana tidak sengaja menghantar pesanan teks ringkas mengatakan mereka telah diuji positif sekali lagi, kata kementerian kesihatan.

Satu kesilapan teknikal mendorong mesej tersebut dihantar pada hujung minggu, kata kementerian lewat semalam, menambah tidak ada maklumat sulit yang didedahkan.

Satu pesanan teks susulan dihantar kepada 357 orang yang terjejas untuk menjelaskan kekhilafan dan ‘meminta maaf atas sebarang kesulitan dan kebimbangan yang timbul,” katanya dalam kenyataan.

“Kami telah menyemak dan mengkaji semula sistem kami untuk memastikan kesilapan yang sama tidak berulang,” tambah kementerian.

Singapura pada mulanya berjaya mengawal wabak tetapi terjejas teruk oleh gelombang jangkitan kedua, kebanyakannya dalam kalangan pekerja pendatang dari asrama yang sesak.

Negara kota itu telah melaporkan 28,794 kes, termasuk 22 kematian. Hampir 10,000 telah sembuh.

Seperti kebanyakan negara lain, Singapura telah mengarahkan penutupan kebanyakan perniagaan, menasihati orang supaya kekal dalam rumah dan mengharamkan perhimpunan besar.

Pegawai berkata mereka mungkin melonggarkan beberapa sekatan pada awal Jun. – AFP