S’pura, M’sia kekang perjalanan Afrika

MALAYSIA/SINGAPURA, 26 NOV – Negara berjiran Malaysia dan Singapura hari ini mengekang perjalanan pergi dan balik Afrika dalam langkah pengawalan ke atas varian baharu B.1.1529 yang dikesan di negara itu.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin mengatakan pengembara tujuh negara Afrika iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe, tidak akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka berkuat kuasa esok.

Katanya, tiga negara telah melaporkan kes berkaitan varian baharu B.1.1.529 iaitu Afrika Selatan sebanyak 77 kes, Botswana (empat kes) dan Hong Kong (dua kes) bagaimanapun, tiada kes berkaitan varian ini dilaporkan di Malaysia berdasarkan pengawasan genomik, setakat hari ini.

“Sekatan sementara kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

“Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut, dibenarkan memasuki negara namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi, serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khairy berkata selain itu, sampel akan diambil dari individu yang tiba dari tujuh negara berkenaan bagi pengawasan genomik.

Manakala Singapura turut mengehadkan perjalanan dari Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe mulai 28 November ekoran varian baharu itu. 

Menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF), terdapat laporan terbaharu mengenai varian B.1.1.529 yang lebih cepat merebak di negara tersebut. 

“Saintis di seluruh dunia masih mengkaji varian baharu itu, sama ada ia lebih mudah ditularkan berbanding varian Delta, kemungkinan membawa kepada penyakit yang teruk dan keberkesanan vaksin sedia ada terhadap varian baharu ini, ” menurut MTF dalam satu kenyataan hari ini.

Buat masa ini, tiada kes membabitkan varian itu dilaporkan di Singapura.

Dalam pada itu, MTF memaklumkan pihaknya perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko penularan B.1.1.529 ke Singapura.

Antara lain, MTF menyatakan semua pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek yang mempunyai sejarah perjalanan ke tujuh negara tersebut dalam tempoh 14 hari, tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura atau transit melalui Singapura.

“Sekatan ini akan dikenakan kepada mereka yang sebelum ini telah mendapat kelulusan untuk masuk ke Singapura,” katanya. – Bernama