S’pura, M’sia lancar VTL darat dalam beberapa minggu lagi

SINGAPURA, 15 NOV – Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat dengan Malaysia dijangka dilancarkan dalam beberapa minggu lagi, kata Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura mengenai COVID-19.

“Perbincangan kami dengan Malaysia mengenai rancangan seperti VTL darat berjalan lancar,” kata pengerusi bersama Gan Kim Yong pada sidang media maya di sini hari ini.

“Kami sedang berusaha untuk melancarkannya tidak lama lagi… mungkin dalam beberapa minggu lagi,” tambah Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri republik itu.

Singapura dan Malaysia, katanya menjalin hubungan erat dalam pelbagai bidang terutamanya dalam kalangan rakyat.

“Banyak keluarga yang lama terpisah berikutan sekatan sempadan. Kami berharap rancangan itu akan kembali menyatukan mereka dan ia akan menjadi antara keutamaan kami,” katanya. Kedua-dua negara pada 8 November mengumumkan akan melancarkan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 Nov 2021.

Belon udara panas kelihatan di Marina Bay, Singapura dalam gambar fail Oktober lalu. Malaysia dan Singapura akan melancarkan pembukaan sempadan darat bagi laluan mereka yang lengkap vaksinasi dalam beberapa minggu lagi. – Xinhua

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Azfar Mohamad Mustafar baru-baru ini berkata agensi berkaitan di Malaysia dan Singapura sedang menyelesaikan isu berkaitan seperti kesihatan, ujian saringan dan proses rentas sempadan.

“Ia isu kecil yang saya pasti dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya sambil menambah bahawa membuka semula sempadan darat agak kompleks berbanding VTL.

Beliau mengingatkan ia tidak akan sama seperti sebelum COVID-19, apabila hampir 200,000 hingga 300,000 orang melakukan perjalanan antara kedua-dua negara setiap hari.

“Sebagai permulaan, kita perlu membukanya secara terkawal. Iaitu dengan mengehadkan bilangan pergerakan harian,” katanya menurut laporan itu.

Beliau berkata tidak seperti skim perjalanan rentas sempadan lain yang diperkenalkan semasa pandemik COVID-19, seperti Peraturan Perjalanan Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), VTL darat lebih menarik kerana pengecualian kuarantin oleh kedua-dua pihak.

Ketika ditanya mengenai langkah awal VTL darat akan dibuka kepada mereka yang menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api dan bas, Dr Azfar berkata: “Saya fikir ini lebih mudah untuk diuruskan daripada membenarkan orang ramai memandu kereta dan motosikal mereka sendiri menyeberangi Tambak.” – Bernama