S’pura, M’sia masing-masing catat lebih 40 kes baharu

SINGAPURA, MALAYSIA, 13 SEPT – Laporan awal Kementerian Kesihatan Singapura hari ini menunjukkan tambahan 49 kes baharu jangkitan COVID-19 di negara republik itu, dengan lapan daripadanya melibatkan kes import.

Menerusi data ringkas yang dikeluarkan hari ini, menurutnya semua kes import telah diberikan Notis Tinggal di Rumah sebaik tiba di Singapura, dan berdasarkan siasatan sehingga kini, hanya satu kes dikesan dalam komuniti yang melibatkan seorang pemegang pas kerja.

Susulan laporan kes baharu, jumlah jangkitan secara keseluruhan kini menjangkau kepada 57,406.

Sementara itu, Malaysia mencatatkan 47 kes baharu membabitkan 45 kes penularan tempatan dan dua kes import hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah penularan tempatan 28 kes adalah warganegara dan 17 kes bukan warganegara, manakala kes import melibatkan dua kes bukan warganegara dari Maldives (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Maghribi (satu kes di Selangor).

Jelasnya jumlah kumulatif kes positif COVID-19 adalah 9,915 kes dan jumlah kes aktif kebolehjangkitan COVID-19 adalah 591 kes.– Bernama