S’pura pulangkan wang IMDB

SINGAPURA, 19 JULAI – Singapura memulangkan hampir AS$40 juta kepada Malaysia yang dirampas berhubung dengan skandal kewangan yang memainkan peranan besar dalam mengguling kerajaan Najib Razak, kata polis.

Negara kota itu adalah satu daripada beberapa negara yang melancarkan siasatan dalam dakwaan berbilion dolar dilesapkan daripada dana kekayaan Malaysia IMDB dalam penipuan yang tersebar dari Asia ke Amerika Syarikat.

Skandal itu, didakwa membabitkan bekas pemimpin Malaysia Najib, ahli keluarga dan lingkungan dalamannya, memain peranan utama dalam kekalahan gabungannya dalam pilihan raya pada tahun lalu.

Polis Singapura berkata jabatan hal ehwal komersial mereka telah memfail permohonan untuk memulangkan kira-kira Sg$50.3 juta wang dirampas yang dikaitkan dengan IMDB kepada Malaysia, dan mahkamah telah memberikan kelulusan mereka.

“Sebahagian daripada wang telah pun dipindahkan ke Malaysia, sementara yang selebihnya masih diproses oleh bank,” kata mereka lewat semalam.

Polis tidak berkata di mana wang dirampas. – AFP