S’pura rekod 51 kes baharu

SINGAPURA, 24 OGOS – Sebanyak 51 kes baharu jangkitan COVID-19 direkodkan di Singapura dalam tempoh 24 jam lalu dengan tujuh daripadanya kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu sebanyak 56,404.

Menurut data ringkas Kementerian Kesihatan Singapura hari ini, semua kes import berkenaan telah dikenakan Notis Tinggal Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Berdasarkan siasatan setakat ini, kementerian berkenaan menyatakan terdapat satu kes dalam komuniti, yang merupakan warga Singapura.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Ahad, republik itu mengklasifikasikan 853 kes sebagai import, 2,218 kes komuniti dan 53,282 penghuni asrama. – Bernama