S’pura sahkan 123 kes baharu

SINGAPURA, 20 JULAI – Singapura mengesahkan 123 jangkitan baharu COVID-19 dengan sebahagian besar masih melibatkan pekerja migran yang tinggal di asrama.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu hari ini, daripada jumlah itu, 11 adalah kes penularan dalam komuniti melibatkan lima warga Singapura atau pemastautin tetap, sementara enam lagi adalah pemegang pas kerja.

Selain itu, kementerian tersebut memaklumkan dua kes import yang telah diletak di bawah kuarantin di rumah sebaik tiba di Singapura.

Susulan perkembangan terbaharu itu, jumlah kumulatif  kes COVID-19 di Singapura kini sebanyak 48,035.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 643 sebagai kes import,  2,119 kes penularan dalam komuniti dan 45,150 sebagai pekerja asing tinggal di asrama. – Bernama