S’pura sahkan kes pertama jangkitan manusia

SINGAPURA, 4 FEB – Kes pertama jangkitan koronavirus novel (2019-nCoV) daripada manusia kepada manusia dilaporkan di Singapura hari ini.

Kementerian Kesihatan, dalam satu kenyataan, melaporkan enam kes terbaharu akibat virus terbabit, empat daripadanya menerusi jangkitan individu, menjadikan jumlah keseluruhan 24 kes.

“Walaupun empat kes ini dikategorikan dalam kluster jangkitan menerusi individu, belum ada bukti mengatakan penyebaran berterusan dalam masyarakat di Singapura,” katanya.

Dua daripada kes jangkitan membabitkan wanita bekerja di kedai produk kesihatan yang sering dikunjungi pelancong China manakala kes ketiga adalah seorang amah warga Indonesia.

Seorang lagi adalah wanita yang juga pemandu pelancong, sering membawa kumpulan pelancong ke kedai menjual produk kesihatan berkenaan.

Dua lagi kes yang direkodkan membabitkan rakyat Singapura dibawa pulang dari Wuhan 30 Januari lalu.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong, berkata jika jangkitan menerusi individu di negara itu meningkat, kerajaan sudah bersedia dengan langkah ‘mengurangkan interaksi dalam kalangan individu’.

Dalam pada itu, pihak penganjur membatalkan persidangan penerbangan antarabangsa yang dijadualkan minggu depan, menjelang Pertunjukan Udara Singapura. Bagaimanapun, pertunjukan yang juga acara terbesar di Asia itu akan diteruskan mengikut jadual antara 11 hingga 16 Februari ini, walaupun beberapa peserta pameran menarik diri, kebanyakannya dari China. – AFP

Lelaki memakai topeng muka melimpasi kedai produk kesihatan, tempat bekerja dua wanita yang dijangkiti koronavirus di Singapura ketika negara itu mengumumkan jangkitan pertama tempatan koronavirus bahaya itu. – AFP