S’pura sahkan tiga kes koronavirus

SINGAPURA, 24 JAN – Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini mengesahkan dua lagi kes jangkitan novel koronavirus import di republik itu, menjadikan jumlah sebanyak tiga kes.

Dalam perkembangan terkini, kementerian itu mengatakan bahawa kes kedua dimaklumkan semalam apabila ujian awal bagi novel koronavirus adalah positif, dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan ujian.

Kes kedua itu membabitkan seorang wanita warganegara China berusia 53 tahun yang tiba di Singapura dari Wuhan bersama keluarganya pada Selasa lepas, menurut MOH.

“Keputusan ujian wanita itu kini disahkan bahawa dia positif novel koronavirus,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menyatakan bahawa wanita terbabit kini dirawat di wad isolasi Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan keadaannya stabil. Sebelum dimasukkan ke hospital, wanita itu menginap di Hotel J8 di 8 Townshend Road dan menyatakan bahawa dia telah melawat Orchard Road, Marina Bay Sands dan Gardens by the Bay, serta menggunakan pengangkutan awam termasuk MRT dan teksi.

Orang ramai memakai topeng muka di kawasan peranginan Shangri-La Rasa Sentosa Resort and Spa di Singapura, 24 Januari, di mana orang pertama disahkan dijangkiti virus Wuhan menginap. – AFP

“Pengesanan sentuh telah dimulakan, risiko jangkitan daripada kontak sementara seperti pengangkutan awam atau tempat awam, dinilai sebagai rendah,” menurut MOH.

Sementara itu, kes ketiga pula melibatkan seorang lelaki warganegara China berusia 37 tahun dari Wuhan, yang juga anak kepada pesakit pertama kes itu yang dimaklumkan semalam, menurut MOH.

Kes ketiga ini dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan pesakit pertama virus ini dan MOH telah memulakan penyiasatan epidemiologi dan pengesanan sentuh untuk mengenal pasti individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit lelaki berusia 37 tahun itu.

Menurut MOH, pengesanan sentuh terhadap kes pertama iaitu lelaki warga China berusia 66 tahun dari Wuhan sedang dijalankan.

Sehingga 23 Januari lepas, MOH telah mengenal pasti 46 kontak rapat dengan kes pertama, bagaimanapun 24 daripadanya sudah keluar daripada Singapura termasuk lapan rakan seperjalanannya.

“Sebanyak 17 orang yang mempunyai kontak dengan kes ketiga telah diasingkan manakala 16 orang sedang dikuarantin dan usaha sedang dijalankan untuk menghubungi lima yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Singapura juga melaksanakan saringan suhu badan di pintu-pintu masuk utamanya terutama lapangan terbang dan pusat pemeriksaan darat Woodlands dan Tuas bermula tengah hari, hari ini.

Mengikut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA), perkara ini dilaksanakan berikutan berlakunya wabak koronavirus di Wuhan, China dan merebak ke bandar dan negara lain, disamping jangkaan peningkatan aliran trafik bersempena cuti Tahun Baru Cina.

ICA dalam laman sesawangnya berkata, mereka yang tiba di pusat pemeriksaan darat perlu menjalani saringan suhu badan yang dijalankan oleh pembantu kesihatan di pusat terbabit.

“Mereka yang disyaki akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya,” katanya. Saringan suhu badan itu akan dilaksanakan secara progresif untuk kesemua jenis kenderaan yang tiba – bas, kereta api, kereta, motosikal, lori – dan kesemua mereka terbabit dinasihatkan mengikuti arahan diberikan oleh pegawai ICA. – Bernama