SINGAPURA, 22 DIS – Kerajaan Singapura akan menyumbang AS$60,000 sebagai menyokong usaha pengumpulan dana awam Palang Merah Singapura (SRC) bagi membantu usaha bantuan dan pemulihan bencana di Malaysia serta Filipina.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (MFA) republik itu, banjir di Malaysia dan Taufan Rai di Filipina telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa serta kemusnahan harta benda.
Sumbangan Kerajaan Singapura itu sebagai tambahan kepada ikrar SRC sebanyak AS$50,000 setiap satu kepada Bulan Sabit Merah Malaysia dan Palang Merah Filipina.
“Sebagai rakan baik dan negara anggota ASEAN, Singapura menyokong Malaysia serta Filipina dalam masa sukar ini,” menurut kementerian itu.
SRC pada 20 Dis menyatakan ikrar bantuan kemanusiaan bernilai AS$50,000 masing-masing kepada Bulan Sabit Merah Malaysia dan Palang Merah Filipina, sebagai menyokong usaha bantuan berterusan susulan kecemasan iklim baru-baru ini di Malaysia dan Filipina. – Bernama