Saturday, June 10, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    S’pura, Thailand mulakan suntikan penggalak

    SINGAPURA/BANGKOK, 3 SEPT – Singapura dan Thailand akan beralih ke fasa seterusnya dalam program vaksinasi mereka dengan memulakan suntikan penggalak atau booster pada bulan ini, menurut pihak berkuasa kesihatan kedua-dua negara itu.

    Singapura akan memulakan suntikan penggalak kepada dua subkelompok yang dikenal pasti, menurut Kementerian Kesihatan republik itu hari ini.

    Ia membabitkan kelompok terimunokompromi sederhana; dan individu yang berumur 60 tahun ke atas serta penghuni pusat jagaan warga tua.

    Kementerian dengan nasihat daripada Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi COVID-19 (EC19V) mengatakan pihak mereka telah mengkaji strategi untuk mencapai perlindungan terhadap COVID-19 melalui vaksinasi, terutama berdasarkan varian yang mudah berjangkit yang muncul di seluruh dunia.

    “Dengan varian Delta yang lebih mudah berjangkit, tidak mungkin negara dapat mencapai perlindungan kelompok tanpa kadar vaksinasi penduduk yang sangat tinggi melebihi 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

    Umat Islam sembahyang Jumaat di sebuah masjid yang dibuka semula oleh pihak berkuasa Thailand kelmarin, dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti penjarakan fizikal dan kapasiti terhad susulan berminggu-minggu penutupan bagi mengelak penularan koronavirus di wilayah selatan, Narathiwat, ketika negara itu dan Singapura mempertimbangkan suntikan vaksin dos penggalak kepada rakyatnya. – AFP

    Kementerian menambah, selain itu muncul juga data mengenai penurunan keberkesanan vaksin terhadap jangkitan berdasarkan masa.

    “Meskipun bukti secara global dan tempatan terus menunjukkan vaksin sangat berkesan untuk mengurangkan jangkitan teruk dan kematian, beberapa negara juga telah memutuskan untuk meneruskan dos tambahan,” katanya.

    Dalam pada itu, Thailand bersetuju memulakan suntikan penggalak kepada tiga juta penduduk yang telah divaksin seawal hujung bulan ini.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata suntikan tambahan itu akan diberikan kepada mereka yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Sinovac, sekurang-kurangnya tiga bulan lalu.

    “Kami akan memberikan vaksin AstraZeneca COVID-19 sebagai suntikan booster,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Mulai pertengahan Julai, Thailand mula memberikan suntikan vaksin mRNA tambahan yang diimport kepada pekerja barisan hadapannya yang telah menerima suntikan vaksin Sinovac.

    Setakat ini, Thailand telah memberikan 34.29 juta dos vaksin termasuk 597,598 dos sebagai suntikan ketiga.

    Sementara itu, Anutin berkata lima juta warga Thailand dalam kumpulan usia 12 hingga 18 tahun akan diberi vaksin mulai bulan depan.

    Menurut beliau, kumpulan itu akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19 yang dijadualkan tiba pada Oktober. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun semak semula undang-undang

    TOKYO, 9 JUN - Jepun meluluskan undang-undang imigresen yang membenarkan kerajaan menghantar pulang pencari suaka yang gagal, walaupun mendapat tentangan daripada parti pembangkang dan...
    - Advertisment -