S’pura tunai solat Jumaat selepas 15 minggu

SINGAPURA, 26 JUN – Ketika Singapura memasuki minggu kedua Fasa Kedua pembukaan semula hari ini, masjid di negara itu telah dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah harian, selepas ia dihentikan sejak 13 Mac, sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.

Tinjauan Bernama di kawasan Masjid Sultan di Kampung Glam sewaktu solat Jumaat hari ini mendapati, beberapa kakitangan telah bersedia untuk menerima jemaah di Pintu 3 masjid itu, sebelum Azan Zuhur berkumandang. Di pintu masuk juga terdapat satu notis, ‘Bersama Menangani COVID-19. Selamat Datang ke Masjid Sultan. Pembukaan Selamat’.

Solat Jumaat berjemaah itu diadakan dengan maksimum 50 jemaah bagi se-tiap sesi di setiap masjid.

Ketika mengumumkan permulaan semula pada 21 Jun, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkata, bagi membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat, dua sesi setengah jam akan dilaksanakan setiap Jumaat, dengan jarak 30 minit antara setiap sesi, bagi memastikan pengurusan keselamatan yang hadir. – Bernama

Umat Islam menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Istihfar, Singapura selepas 15 minggu apabila kerajaan melonggarkan sekatan COVID-19. – AFP