S’pura ubah kawasan lumba kuda jadi CRF

SINGAPURA, 11 MEI – Kawasan tertentu di gelanggang Lumba Kuda Singapura di Kranji akan diubah buat sementara waktu menjadi Kemudahan Pemulihan Komuniti (CRF) bagi pekerja asing yang sedang pulih daripada jangkitan COVID-19.

Kawasan itu termasuk tempat letak kereta bertingkat dan tempat letak kereta B di gelanggang lumba kuda itu dan kawasan berbumbung di Pusat Kelab Lumba Kuda Singapura.

Kawasan berkenaan akan ditetapkan sebagai zon larangan dan orang awam dilarang masuk, kata Kelab Lumba Kuda Singapura dalam laman webnya hari ini. Kelab itu berkata pembinaan dan kerja ubah suai CRF di dua kawasan itu dijadualkan siap pada akhir Mei ini.

“Kerja-kerja dijalankan berdasarkan protokol dan prosedur ditetapkan oleh agensi kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dan kemudahan berkenaan,” katanya.

CRF adalah sebahagian strategi perubatan Singapura untuk menugaskan sumber perubatan dengan sebaik mungkin dan menghalang sistem penjagaan kesihatan daripada terbeban dengan teruk.

Bangunan asrama pekerja asing, kompleks [email protected] kelihatan di sebalik barisan pokok di Singapura. Gelombang kedua jangkitan di negara itu dari asrama pekerja asing menyaksikan ia menyediakan padang lumba kuda sebagai pusat pemulihan komuniti (CRF). – AFP

Ia akan membolehkan pesakit kekal sihat dan stabil daripada segi klinikal untuk pulih daripada COVID-19.

Selaras dengan langkah ketat republik untuk memutuskan rantaian wabak itu, kelab itu mengumumkan semua mesyuarat mengenai lumba kuda di Singapura akan ditangguhkan sehingga 1 Jun depan.

Jumlah jangkitan COVID-19 di Singapura kini sebanyak 23,822 kes, dengan kira-kira 90 peratus kes itu didominasi pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

Dalam pada itu, sejumlah 33 kes yang diuji positif COVID-19 oleh sebuah makmal di sini, didapati tidak benar, susulan timbul isu berkaitan penentukuran radas bagi salah satu kit ujian penyakit itu.

“Ujian semula berikutnya di Makmal Kesihatan Awam Nasional mengesahkan bahawa ia adalah kes negatif,” kata Kementerian Kesihatan republik itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Menurutnya tiada keputusan negatif yang ‘tidak betul’ dikesan menerusi ujian semula itu. – Bernama