SINGAPURA, 28 MEI – Singapura akan meningkatkan langkah sokongan kepada perniagaan dan individu dengan membabitkan kos S$800 juta di bawah Kewaspadaan Dipertingkatkan Fasa Kedua pada 16 Mei hingga 13 Jun, 2021.
Pakej tersebut akan merangkumi, antara lain, penambahbaikan Skim Sokongan Pekerjaan bagi sektor yang terjejas; pelepasan sewa untuk perusahaan kecil dan sederhana serta organisasi tidak bermotifkan keuntungan dalam hartanah komersial selain Geran Pemulihan COVID-19 (Sementara).
Republik ini pada masa ini melaksanakan langkah sekatan lebih ketat ke atas aktiviti berisiko tinggi di bawah Kewaspadaan Dipertingkatkan Fasa Kedua untuk membendung penularan kes COVID-19 dalam masyarakat.
Menteri Kewangan, Lawrence Wong berkata pakej sokongan itu akan dibiayai menerusi peruntukan semula perbelanjaan.
“Jadi, tidak akan ada pengeluaran tambahan daripada rizab sebelum ini, saya akan membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan di persidangan Parlimen pada Julai untuk menguatkuasakan peruntukan semula ini.
“Bagaimanapun berikutan keadaan, dan banyak perniagaan sedang memerlukan bantuan, kita berpandangan wajar mengumumkan langkah itu terlebih dahulu serta menjelaskan apa yang kita lakukan,” katanya semasa mengumumkan langkah sokongan dipertingkatkan itu di sini, hari ini. – Bernama