SINGAPURA, 21 JUN – Singapura kelmarin telah mengumumkan pakej bantuan bernilai S$1.5 bilion bagi menyalurkan kemudahan bersasar dan segera untuk kumpulan berpendapatan rendah serta mudah terjejas akibat tekanan inflasi.
Pakej bantuan itu antara lainnya akan menyaksikan kira-kira 1.5 juta rakyat Singapura layak menerima Bayaran Baucar GST Khas sehingga S$300 pada Ogos 2022.
Selain itu, Kredit Utiliti Isi Rumah S$100 turut akan disalurkan kepada setiap isi rumah bagi membantu mereka menampung bil berkaitan.
Sementara itu, menurut Kementerian Kewangan (MOF), kenaikan harga minyak juga telah meningkatkan kos bagi kebanyakan individu bekerja sendiri yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari sumber rezeki manakala larangan eksport ayam hidup dari Malaysia sekali gus telah menjejaskan mata pencarian rumah sembelih terbabit.
Berikutan hal itu, sebanyak 11 buah rumah sembelih ayam Singapura dengan pekerjanya yang bergantung hidup kepada bekalan ayam hidup, akan diberi pengecualian Levi Pekerja Asing selama tempoh sebulan.
Pada masa yang sama, pakej bantuan tersebut juga akan membolehkan penyewa utama teksi dan pemandu kereta sewa persendirian, menerima bantuan sekali gus sebanyak S$150 pada Ogos 2022.
Selain itu, bagi membantu perusahaan tempatan dalam menangani kebimbangan mengenai aliran tunai, Skim Pembiayaan Perusahaan dan juga Pinjaman Perdagangan akan dipertingkatkan dengan kuantum maksimum pinjaman dinaikkan kepada S$10 juta daripada S$5 juta mulai 1 Julai, 2022 hingga 31 Mac, 2023.
Selain itu, pihak kerajaan juga akan terus menyediakan 70 peratus perkongsian risiko bagi skim terbabit sepanjang tempoh berkenaan. – Bernama