LONDON, 14 Sept – Harry Kane mengakhiri badi Tottenham Hotspur di Wembley apabila dua gol penyerang England itu memastikan kemenangan 3-1 ke atas Borussia Dortmund dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara mereka awal pagi tadi.
Dengan White Hart Lane menjalani pengubahsuaian, Tottenham bermain perlawanan gelanggang sendiri mereka di stadium kebangsaan Inggeris musim ini dan itu merupakan berita buruk bagi pasukan Mauricio Pochettino.
Sudah tercalar dengan beberapa kekalahan di Wembley bagi saingan Liga Juara-Juara dan separuh akhir Piala FA musim lepas, Tottenham telah tewas kepada Chelsea dan seri dengan Burnley musim ini, mencetuskan perbincangan bahawa mereka menghadapi sumpahan di venue itu.
Tetapi selepas lapan kekalahan dalam 12 perlawanan mereka di Wembley, penyudah berbisa Kane telah memastikan Tottenham menikamati malam yang akan dikenang di laman sementara mereka itu.
Jaringan pertama Son Heung-Min musim ini telah memberikan Tottenham pendahuluan awal, meskipun Andriy Yarmolenko berjaya menyamakan kedudukan, pasukan tuan rumah lebih berbisa dengan aksi wira Kane.

Kane, yang menjaringkan dua gol dalam kemenangan di Everton, mengembalikan kelebihan Tottenham sebelum rehat dan melengkapkan kemenangan menerusi gol keduanya selepas rehat.
Diundi dalam kumpulan sukar yang terdiri daripada pemegang gelaran Real Madrid, persembahan bertenaga Tottenham berjaya meraih hanya kemenangan ketiga mereka dalam 13 penampilan di Wembley dan memberikan mereka rangsangan dalam perjuangan menuju ke peringkat kalah mati.
Satu-satunya kekecewaan Tottenham pagi tadi adalah arahan untuk keluar padang kepada Jan Vertonghen, yang melibaskan tangannya ke muka Mario Gotze.
“Ia adalah kemenangan yang sangat penting, kami sangat gembira. Kami meningkatkan permainan kami di separuh masa kedua dan kami begitu klinikal,” kata Pochettino. – AFP