Spurs benam City, terajui EPL

LONDON, 22 NOV – Tottenham melonjak ke kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan bergaya 2-0 ke atas Manchester City sementara Chelsea di tangga kedua selepas mengalahkan Newcastle juga dengan jaringan yang sama.

Manchester United kekal di kedudukan ke sembilan selepas berjaya mencatat kemenangan pertama di laman sendiri dalam tujuh saingan Liga Perdana ketika Bruno Fernandes menjaringkan gol penalti mengatasi WestBrom, 1-0.

Spurs mengakhiri saingan pagi ini dengan melonjak ke kedudukan teratas liga buat pertama kali dalam tempoh enam tahun ketika jaringan oleh Son Heung-min dan Giovani Lo Celso mengatasi City di Stadium Tottenham Hotspur.

Tottenham mendahului selepas lima minit permainan ketika Heung-min meluru ke arah bola umpanan Tanguy Ndombele untuk mengatasi perangkap ofsaid City dan memastikan jaringan menewaskan Ederson buat gol ke-11 peribadinya musim ini.

City menguasai permainan tetapi bergelut untuk mencipta peluang dan sekali lagi dihukum dengan jaringan kedua menerusi satu lagi percubaan tepat Spurs.

Reaksi Heung-min (dua kiri) meraikan jaringan selepas mencetak gol pembukaan untuk pasukan-nya pada perlawanan menentang Manchester City di Tottenham, awal pagi kelmarin. – AP

Lo Celso yang dibawa masuk dari tempat duduk pemain simpanan menjaringkan gol hanya 35 saat ketika berada dalam padang selepas dia memanfaatkan hantaran Harry Kane untuk mengatasi jangkaan Ederson. Pada hari ulang tahun selepas setahun pelantikan Jose Mourinho, Tottenham sukar ditewaskan dalam lapan perlawanan liga sejak tewas kepada Everton pada perlawanan pembukaan mereka, sekali gus memberi harapan menjadi antara pasukan pencabar kejuaraan.

“Pemain memberikan segalanya dan mengikuti strategi. Mereka sangat menakjubkan,” kata Mourinho.

“Kami mengenal pasti cara untuk bermain dan ia sangat hebat untuk melihat bagaimana mereka melakukannya.”

“Saya mahu untuk berada di pasukan teratas tetapi saya tidak terlalu memikirkannya. Saya tidak mahu memikirkan mengenai kedudukan dan persaingan, saya hanya mahu untuk mara ke perlawanan seterusnya yang kami yakin kami boleh menang,” tambahnya.

Tottenham, kali terakhir memenangi kejuaraan liga utama pada 1961, mendahului Chelsea dengan dua mata dan kedua-dua pasukan bakal bertemu minggu depan. City di tangga ke-11, lapan mata di belakang pendahulu liga selepas lapan perlawanan. – AFP