‘Spurs bertuah beraksi di Wembley’

LONDON, 9 Nov – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino (gambar bawah) menyatakan bahawa pasukan kendaliannya bertuah kerana dibenarkan bermain di Stadium Wembley sebagai tempat mereka sendiri sementara menunggu stadium baharu kelab itu siap sepenuhnya.

Spurs telah menggunakan stadium kebangsaan itu sejak awal musim lalu dan baru-baru ini meneruskan aksi laman sendiri di sana sehingga sekurang-kurangnya Januari ini berikutan kelewatan yang dihadapi terhadap stadium baharu mereka.

Spurs juga terpaksa menjalani perlawanan mereka dengan keadaan padang yang kurang mantap selepas ia digunakan untuk perlawanan NFL minggu lepas.

Walau bagaimanapun, Pochettino berkata kelab itu bersyukur diberi kebenaran untuk menggunakan Stadium Wembley.

“Kami patut bersyukur dapat bermain di Wembley kerana jika tidak, di mana kami akan beraksi?” katanya.

“Sudah tentu kami tidak boleh menyalahkan Wembley dan saya fikir kami bertuah masih dapat beraksi di London, berdekatan dengan White Hart Lane selain tempat latihan kami. Ia merupakan kelebihan besar buat kami.”

Spurs pada awalnya dijadual berpindah ke stadium baharu yang mempunyai 62,000 tempat duduk tahun ini tetapi ia terpaksa ditangguhkan tanpa sebarang tarikh rasmi diumumkan.

Kekecewaan dalam kalangan para peminat semakin meningkat meskipun permulaan yang menarik pada musim ini. Bagaimanapun, Pochettino sekali lagi menggesa peminat untuk melihat gambaran pencapaian yang lebih besar.

“Saya fikir untuk peminat kami, mereka perlu mula berfikir bahawa sehari beraksi di Wembley adalah sehari lebih dekat untuk beraksi di stadium baharu kami,” katanya sebelum perlawanan menentang Crystal Palace hujung minggu ini.

“Dan dengan itu dapat menyuntik motivasi anda dan memberi anda inspirasi untuk berasa gembira, optimistik dan mengeluarkan tenaga yang positif.” – AFP