RENNES, 17 SEPT – Jaringan penyamaan daripada pemain gantian, Pierre-Emile Hojbjerg membolehkan Tottenham Hotspur meraih satu mata selepas terikat 2-2 semasa pertemuan menentang Rennes di Liga Konfederasi Eropah baharu, kelmarin.
Gol sendiri oleh Loic Bade memberikan Spurs langkah kanan perlawanan di Brittany tetapi Flavien Tait berjaya menyamakan kedudukan dan Gaetan Laborde meletakkan Rennes di hadapan pada minit ke-72.
Namun kedudukan jaringan tersebut tidak bertahan lama selepas Hojbjerg menyamakan kedudukan dan keputusan tersebut diterima baik oleh anak buah Nuno Espirito Santo selepas pasukan mereka dijinakkan 3-0 oleh Crystal Palace pada hujung minggu lalu.
“Ia bukan keputusan sempurna, tetapi kami menunjukkan sikap yang baik dan terus percaya dapat mengubah keputusan selepas kami dibolosi,” kata Nuno yang menurunkan pasukan simpanan.
“Mereka adalah sebuah pasukan yang sukar untuk dilawan dan sukar untuk menganalisis perlawanan, banyak pemain kami bermain di luar posisi sebenar.”
Peminat Rennes dilihat gembira dengan keputusan tersebut, yang kecewa dengan persembahan kebelakangan ini.
Sementara menamatkan saingan di Liga Perdana Inggeris di kedudukan empat teratas untuk beraksi di Liga Juara-Juara masih menjadi keutamaan buat Spurs, mereka tidak akan mengambil mudah kejohanan yang menawarkan laluan realistik untuk memenangi pingat buat kelab, yang gagal memenangi sebarang trofi sejak menjulang Piala Liga pada 2008.
Perlawanan Tottenham seterusnya dalam Kumpulan G adalah menentang juara Slovenia, Mura, yang tewas 2-0 di tangan pasukan dari Belanda, Vitesse Arnhem, awal pagi tadi.
Namun ia bukan satu laluan mudah buat Tottenham selepas kunjungan mereka ke Perancis sebelum mereka bertemu Chelsea pada hujung minggu.
Nuno juga kehilangan dua pemain sayap utama, Steven Bergwijn dan Lucas Moura, disebabkan kecederaan semasa perlawanan. – AFP
